Sabtu, 11 Februari 2023 | 6:24pm
Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerima sumbangan lebih RM1.5 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diserahkan di Istana Bukit Serene. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerima sumbangan lebih RM1.5 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diserahkan di Istana Bukit Serene. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

MAIWP sumbang RM1.5 juta bantu mangsa banjir di Johor

JOHOR BAHRU: Johor menerima sumbangan lebih RM1.5 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Sumbangan yang diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu dalam bentuk tunai berjumlah RM1 juta serta RM511,000 bagi barangan keperluan, peralatan kelengkapan persekolahan dan peralatan pembersihan.

Replika cek sumbangan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid.

Majlis penyerahan sumbangan yang diadakan di Istana Bukit Serene di sini, hari ini turut disaksikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Penasihat MAINJ, Datuk Dr Nooh Gadut.

Bagi sumbangan berjumlah RM511,000 dalam bentuk barangan keperluan, peralatan kelengkapan persekolahan dan peralatan pembersihan itu diberikan MAIWP melalui Program MAIWP-Insani Misi Bantuan Banjir Johor.

Penyerahan sumbangan itu dilaksanakan di Batu Pahat dan Kluang serta beberapa lokasi lain yang terjejas banjir.

Berita Harian X