PUTRAJAYA: BERSATU memberi tempoh 14 hari selepas mengemukakan permohonan pada 2 Februari lalu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membatalkan pembekuan akaun milik parti itu, sebelum berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pembekuan akaun itu telah merencatkan urusan pentadbiran BERSATU, lebih-lebih lagi dalam usaha parti membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, tahun ini.
Beliau mengaku BERSATU menghadapi masalah dan kesukaran sejak akaun parti itu dibekukan SPRM untuk membantu siasatan kes wang disyaki daripada hasil haram.
"Memang kita menghadapi masalah sejak akaun parti dibekukan, kerana ia menyebabkan segala urusan pentadbiran BERSATU terencat... kita tidak dapat mengeluarkan peruntukan bagi membayar gaji, elaun kakitangan dan aktiviti parti," katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran Ahli Parlimen Putrajaya, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Dr Radzi Jidin; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; dan Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya sudah membekukan akaun BERSATU untuk membantu siasatan ke atas wang disyaki daripada hasil haram.
Azam dipetik berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, akaun BERSATU sudah dibekukan lebih sebulan, dan sesiapa saja yang berdepan situasi sedemikian akan menghadapi masalah besar.
Beliau mendakwa, segala maklumat dihantar kepada SPRM membabitkan audit akaun yang sangat jelas dan tiada sebarang penyelewengan dibuktikan hingga kini, selain BERSATU bukan parti mempunyai simpanan wang yang besar.
"Sekiranya dana ini dapat dicairkan, kita boleh bergerak dan membuat persiapan di semua enam negeri yang bakal ditandingi pada PRN akan datang.
"Kita yakin akan mempertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah bawah pemerintahan PAS, selain menembusi serta menang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.