Sabtu, 11 Februari 2023 | 4:57pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Cari kaedah dapatkan tiket penerbangan secara terus - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur: Kerajaan perlu mengkaji kaedah bagi membolehkan agensi umrah mendapatkan tiket penerbangan secara terus daripada syarikat penerbangan tanpa melalui ejen bagi mengelakkan berlakunya monopoli pihak tertentu.

Penganalisis jenayah yang juga Pakar Kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kerajaan terutama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya perlu memantau pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan supaya harga tiket tidak menaik secara mendadak seperti yang berlaku sebelum ini.

"Kerajaan kena kaji kaedah yang sesuai dalam isu penjualan tiket penerbangan umrah secara terus kepada agensi umrah memandangkan ada syarikat penerbangan yang dikendalikan oleh kerajaan.

"Pada masa sama, kerajaan juga wajar pantau dan pastikan bahawa hanya agensi umrah yang tulen saja dibenarkan untuk mendapatkan tiket penerbangan secara terus itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membongkar sindiket rasuah pengagihan kuota tiket penerbangan umrah membabitkan kira-kira 216,000 tiket dianggarkan bernilai RM10.8 juta sejak 2018.

Enam individu iaitu pengarah serta kakitangan syarikat pelancongan di enam syarikat ditahan SPRM dalam operasi khas di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

Modus operandi sindiket itu adalah mengenakan bayaran rasuah berjumlah antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket jemaah umrah bagi memastikan agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan dijadualkan.

Sahul Hamid berkata, kegiatan yang dilakukan oleh kartel itu adalah jenayah serius kerana membabitkan jemaah umrah yang sepatutnya boleh mendapatkan tiket penerbangan pada harga lebih murah.

"Ada ramai orang yang mahu menunaikan umrah, namun tidak dapat kerana tidak mampu disebabkan harga yang mahal akibat manipulasi daripada kartel berkenaan.

"Justeru itu, kita harap SPRM akan menjalankan siasatan terperinci supaya semua pihak yang terbabit dengan kartel ini dapat dibawa ke muka pengadilan sekali gus kejayaan itu dapat menjadi amaran kepada orang lain," katanya.

Berita Harian X