Sabtu, 11 Februari 2023 | 4:13pm

Kerajaan digesa tubuh RCI siasat kecurian REE

SIK: Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau satu tribunal siasatan khas untuk menyiasat secara terperinci kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, baru-baru ini.

Pengerusi Yayasan Jariah Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid, berkata siasatan sepenuhnya terhadap isu kecurian REE di kompartmen 12, 13 dan 14 itu perlu dilaksanakan secara serius dan menyeluruh tanpa menyembunyikan salah laku, penyelewengan, rasuah atau salah guna kuasa.

Katanya, berdasarkan siasatan beliau dan rakan-rakan, aktiviti itu dipercayai bermula dua tahun lalu, namun tiada tindakan tegas daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa.

"Walaupun ada serbuan dan tangkapan pada September tahun lalu, penyelesaian yang diambil itu termasuk mengenakan kompaun berjumlah RM630,000, adalah tidak masuk akal.

"Jumlah kerugian mungkin lebih besar kerana tempoh kecurian berlaku hampir dua tahun, mungkin mencecah angka ratusan juta ringgit. Justeru, kami menggesa agar RCI atau tribunal siasatan khas ditubuhkan bagi melakukan siasatan menyeluruh," katanya selepas melakukan tinjauan di kaki Bukit Enggang di Kampung Melayu, Paya Terendam, di sini, hari ini.

Mahadzir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri mendakwa tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang 'membenarkan' perlombongan REE menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten Co Ltd dalam usaha penerokaan maklumat dan kepakaran bagi perlombongan REE di negeri ini menunjukkan beliau tidak serius dalam menjejaki dalang di sebalik kecurian REE yang jelas tidak mematuhi akta sedia ada.

"Beliau turut mengumumkan kerajaan negeri menyasarkan perolehan hasil negeri pada 2023 melalui REE sebanyak RM600 juta menerusi Pembentangan Bajet 2023 sedangkan kerja-kerja berkaitan pengambilan REE belum mendapat kelulusan Kerajaan Pusat," katanya.

Penasihat Kelab Sahabat Alam Sik dan Grass Kedah, Mohd Sobri Ramlee pula mempersoalkan bagaimana penerokaan REE boleh dilakukan di hutan simpan berkenaan berikutan REE tidak ditakrifkan sebagai hasil hutan.

"Berdasarkan Seksyen 2, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), sumber mineral berasaskan nadir bumi tidak ditakrifkan sebagai hasil hutan, oleh itu ia tidak boleh dikeluarkan dari kawasan HSK.

"Jadi, dari segi teknikal kerajaan negeri sudah membuat keputusan yang bercanggah dengan undang-undang Akta Perhutanan Negara. Adakah Menteri Besar memahami perkara ini," katanya.

Mohd Sabri berkata, sejak pembalakan berskala besar pada 2017, sumber air bersih untuk penduduk tempatan dari Hutan Simpan Bukit Enggang sudah tercemar.

"Majoriti penduduk sekitar bergantung sepenuhnya dari sumber air bukit kerana masalah gangguan bekalan air Syarikat Bekalan Air Bersih (SADA).

"Apabila penerokaan REE pula dijalankan di situ, radioaktif paras rendah daripada kehadiran torium dan uranium dalam unsur nadir bumi berpotensi mendatangkan bahaya. Pengendalian yang tidak sempurna boleh menyebabkan kerosakan alam sekitar yang amat besar," katanya.

Terdahulu, Mahadzir, Mohd Sobri, pengamal media serta penduduk kampung turut melakukan tinjauan di Sungai Jeneri dan mendapati air sungai yang mengalir dari Bukit Enggang, turut berubah warna dipercayai berpunca daripada kegiatan perlombongan REE.

Pengerusi Yayasan Jariah Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid menunjukkan air Sungai Jeneri yang dipercayai tercemar akibat kegiatan penerokaan REE di Bukit Enggang. NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Pengerusi Yayasan Jariah Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid menunjukkan air Sungai Jeneri yang dipercayai tercemar akibat kegiatan penerokaan REE di Bukit Enggang. NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Berita Harian X