KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin AMANAH menggesa DAP memecat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy, susulan kenyataannya mengesyorkan supaya Kerajaan Perpaduan memecah monopoli kaum dalam perkhidmatan awam.
Ketua Pemuda AMANAH yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, mendakwa kenyataan Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu menyusahkan Pakatan Harapan (PH).
"DAP, saya yakin tertekan dengan kenyataan semacam ini dan perlu berbuat sesuatu kerana ini bukan kenyataan pertama dari beliau yang menyusahkan DAP sendiri.
"Tindakan paling sesuai bagi saya adalah memecat beliau dari menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kerana saya yakin ramai lagi pemimpin yang lebih berwibawa untuk menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Ramasamy sekali lagi mencari pasal dan cuba menjadi hero kaumnya dengan publisiti murahan.
"Kenyataan sebegini bertentangan dengan dasar Malaysia Madani yang sedang dipelopori kerajaan pimpinan Anwar sekarang dan ia satu sabotaj kepadanya.
"Bagi saya, ia tidak wajar keluar dari rakyat negara ini jika mereka mahu menjaga keharmonian antara kaum. Oleh itu, saya menyeru rakyat negara ini jangan melayan orang semacam ini," katanya.
Ramasamy dalam satu kenyataan semalam, menggesa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.
Katanya, perdebatan bahawa penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam, bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.
Ramasamy berkata, dasar perkauman sedemikian tidak lagi boleh dipertahankan terutama ketika Kerajaan Perpaduan kini berada di tampuk kuasa.
Justeru itu, katanya, Perdana Menteri perlu segera menangani isu dominasi satu kaum dalam perkhidmatan awam.