KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar satu sindiket yang dipercayai menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan umrah berikutan penahanan enam individu, kelmarin.
Enam individu berusia 34 hingga 55 tahun terdiri daripada pengarah serta kakitangan enam syarikat pelancongan berkenaan ditahan dalam operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.
Perkembangan itu menyusul kira-kira dua minggu selepas BH mendedahkan sekurang-kurangnya lima agensi umrah didakwa membolot tiket penerbangan ke Tanah Suci sebelum menjualnya semula pada harga lebih tinggi dan dipercayai antara sebab utama kenaikan mendadak kos ibadat itu kebelakangan ini.
Sumber memberitahu, sindiket mengenakan bayaran RM50 hingga RM250 kepada agensi umrah untuk setiap kuota tiket sebagai dorongan bagi memastikan agensi terbabit mendapat tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.
Katanya lagi, sindiket itu dipercayai sudah menjalankan kegiatan berkenaan sejak 2018 dan setakat ini, dipercayai 216,000 tiket sudah diagihkan dengan bayaran rasuah keseluruhan dianggarkan sekurang-kurangnya RM10.8 juta.
"Satu daripada syarikat ini dilantik oleh sebuah syarikat penerbangan antarabangsa sebagai ejen tunggal untuk mengurus dan mengagihkan kuota tempat duduk setiap penerbangan mengerjakan umrah. Ini menyebabkan wujud sindiket memonopoli kuota tiket dan menjual tiket pada harga yang tinggi.
"Agensi pengendali umrah terpaksa membayar kos tambahan berbentuk rasuah ini bagi memastikan jemaah mereka mendapat tempat duduk penerbangan. Ini antara faktor mengapa harga tiket penerbangan umrah tinggi," katanya kepada BH, semalam.
Semalam, SPRM membawa keenam-enam suspek ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman. Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin kemudian membenarkan SPRM menahan mereka selama empat hari sehingga 13 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika mengesahkan penahanan enam individu berkenaan, berkata ramai lagi dijangka ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.
BH dalam laporan muka depan pada 26 Januari lalu, mendedahkan sesetengah agensi umrah di negara ini didakwa membolot tiket penerbangan disediakan syarikat penerbangan tempatan untuk ke Tanah Suci, yang menjadi antara punca kenaikan mendadak kos mengerjakan umrah kebelakangan ini.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham dilaporkan berkata, mengikut harga semasa, tiket penerbangan umrah hanya sekitar RM2,700 hingga RM2,800, tetapi dijual semula oleh agensi sekitar RM4,800 hingga RM5,000.
Harga tiket penerbangan satu-satunya punca kenaikan pakej umrah yang boleh dikawal di pihak Malaysia, tetapi belum ada tindakan sewajarnya diambil untuk menyekat monopoli syarikat umrah tempatan yang membolot tiket penerbangan dan menjualnya semula dengan harga lebih tinggi.
"Mereka hanya membayar sekitar 10 peratus deposit untuk membeli keseluruhan tiket bagi satu penerbangan. Ini menyebabkan agensi umrah, terutama yang kecil tak dapat beli terus tiket dengan syarikat penerbangan kerana semua tempat duduk sudah dibolot," kata Razali.
Katanya lagi, berdasarkan maklumat diterima PAPUH, perbuatan itu sudah lama berlarutan dengan sekurang-kurangnya 120,000 tiket penerbangan keTanah Suci dijual semula dalam tempoh setahun sebelum ini.
Ia juga menyebabkan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa turut bertindak menaikkan harga tiket penerbangan masing-masing ke Tanah Suci berikutan permintaan tinggi dan menyebabkan sesetengah bakal jemaah terpaksa tangguh hasrat atau mengatur semula perjalanan mengerjakan umrah.
Berdepan kemungkinan kos meningkat sehingga 200 peratus, jemaah mengakui tiada pilihan berikutan syarikat pengendali umrah lain turut mengambil langkah sama menaikkan harga pakej.