SANDAKAN: Sebuah kem Tentera Darat Malaysia (TDM) akan dibina di FELDA Sahabat, Lahad Datu, dengan kos RM646.15 juta, dalam masa terdekat, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan memindahkan satu batalion infantri dan unit Briged Ke-13 Infantri sebagai usaha meningkatkan tahap keupayaan serta kesiapsiagaan TDM dalam menangani ancaman semasa, sekali gus mengukuhkan tahap keselamatan di pantai timur Sabah.
"Rancangan kita ialah membina satu lagi briged di medan timur dan kita akan membina sebuah lagi kem baharu.
"Sekarang ada dua briged, dengan tiga briged lengkap untuk satu divisyen beroperasi," katanya kepada pemberita selepas mengakhiri lawatan ke pantai timur Sabah, semalam.
Mohamad berkata, usaha berterusan bagi membina kesepakatan dalaman, peningkatan kesiapsiagaan dan pengukuhan kerjasama pertahanan antara warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan penduduk tempatan, dilakukan secara menyeluruh serta mampan.
Katanya, keberadaan pos dan kawalan tentera serta kem tentera baharu yang akan dilengkapi pelbagai kemudahan di kawasan terbabit, dilihat dapat memberikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat kepada ATM serta negara.
Mohamad turut meninjau Pos Kampung Tanduo yang diwujudkan susulan insiden pencerobohan pengganas, 10 tahun lalu, bagi memastikan usaha kerajaan memantau anasir jahat khususnya insiden Tanduo tidak berulang.
"Melihat kepada kemudahan dan fasiliti yang terdapat di Pos Kampung Tanduo, konsep pertahanan komprehensif yang membabitkan penyertaan kerajaan dan masyarakat dapat direalisasikan," katanya mengulas lawatan beliau ke pos itu.
Beliau juga meninjau pos di Pulau Berhala, termasuk Sekolah 3M (membaca, menulis dan mengira) yang merupakan inisiatif ATM melalui Projek Jiwa Murni sejak 2009, selain pos di Pulau Jambongan sebelum ke Sandakan untuk kembali ke Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan lain, Mohamad memaklumkan, TDM akan menghantar sepasukan 60 anggota ke Turkiye dalam beberapa hari lagi atas permintaan kerajaan negara itu bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi gempa bumi. – BERNAMA