KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, digesa melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy, berkata perdebatan bahawa penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam, bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.
"Perkhidmatan awam di Malaysia bukan sahaja bertambah dari segi bilangan pekerja, ia terdiri daripada satu kumpulan etnik, kebanyakannya orang Melayu.
"Inilah sebab mengapa Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, meminta perkhidmatan awam dibuka kepada bukan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, terutamanya dalam kalangan kaum Cina," katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.
Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, berkata dasar perkauman sedemikian tidak lagi boleh dipertahankan terutama ketika Kerajaan Perpaduan kini berada di tampuk kuasa.
Justeru itu, katanya, Perdana Menteri perlu segera menangani isu dominasi satu kaum dalam perkhidmatan awam.
"Sudah tentu Anwar sendiri menyedari perkara ini dan dalam keadaan politik sedia ada, beliau boleh secara perlahan memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik di negara ini.
"Alasan yang sering diulang bahawa orang bukan Melayu menjauhkan diri daripada perkhidmatan awam kerana kekurangan prospek kenaikan pangkat dan sebagainya tidak lagi boleh digunakan kerana ia adalah satu bentuk diskriminasi kaum, sama ada secara terang-terangan mahupun tersembunyi," katanya.
Justeru, beliau berharap agenda reformasi di bawah Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai teraju, perlu diteruskan seperti yang dijanjikan kepada rakyat.
"Kepemimpinan baharu di bawah konsep Madani tidak boleh sekadar memberi kata-kata bersifat berat sebelah dalam perkhidmatan awam.
"Saya yakin rakyat akan mengingatkan kerajaan sekarang mengenai janji tadbir urus yang baik," katanya.