Jumaat, 10 Februari 2023 | 4:59pm
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.

Kerajaan disaran wujudkan platform digital untuk rakyat beri KPI

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan satu platform digital bagi memudahkan rakyat memberi petunjuk prestasi utama (KPI) atau maklum balas terhadap cara kerja ketua setiausaha (KSU) kementerian ataupun ketua pengarah jabatan di agensi kerajaan.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat ketika memberi cadangan itu bagaimanapun menjelaskan, maklum balas berkenaan perlu disertakan dengan fakta serta bukti untuk memastikan ia sahih dan bukan tuduhan semata-mata.

Selain itu, beliau berkata, pendekatan itu mampu menambah baik sektor perkhidmatan kerajaan, sekali gus menangani permasalahan yang disuarakan rakyat kepada kerajaan.

"Maklum balas itu juga dapat dijadikan kayu ukur kepada pencapaian sesebuah kementerian atau jabatan. Namun, maklum balas diterima itu perlu diaudit supaya pelaporan pencapaian adalah seimbang dengan realiti semasa di lapangan.

"CUEPACS percaya banyak lagi pendekatan yang boleh kita perhalusi untuk diketengahkan pada peringkat kementerian dan jabatan, supaya perkhidmatan diberi kerajaan adalah betul-betul bermakna serta memberi manfaat kepada rakyat," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, memaklumkan rakyat akan diberikan peluang membuat KPI membabitkan KSU atau ketua pengarah jabatan kerajaan, supaya laporan yang diterimanya adalah lebih realistik.

Mohd Zuki dilaporkan berkata, kaedah penilaian itu sedang dirangka oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta Jabatan Perangkaan Malaysia.

Beliau menambah, sebelum ini pihaknya menerima kira-kira 100 laporan KPI, namun terdapat dokumen yang disifatkan sebagai 'syok sendiri'.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, kenyataan Mohd Zuki supaya rakyat memberikan KPI kepada pegawai kanan kerajaan, adalah sangat realistik, sekali gus menolak laporan yang berdasarkan angka semata-mata.

"Ia (laporan KPI) perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan angka semata-mata. Ia mesti dilihat dari segi penyampaian sama ada apa yang ada kini benar-benar dirasai serta menyentuh keperluan rakyat ataupun sebaliknya, terutama perkhidmatan diberi agensi yang terbabit secara langsung dengan orang ramai di kaunter seperti urusan tanah, lesen dan rawatan.

"Jika segala urusan ini dapat diperoleh dengan mudah oleh rakyat dan tidak menyukarkan mereka, sudah pasti rakyat akan memberi maklum balas yang positif kepada imej sistem penyampaian perkhidmatan awam.

"Pendekatan ini selari dengan falsafah dalam enam rukun Malaysia Madani. Jika kita menghayati ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), beliau memang mahu pelaporan itu berpaksikan pencapaian realiti di bawah dan bukan berdasarkan angka semata-mata. Namun, realiti kini tidak menggambarkan keadaan sebenar," katanya.

Mengenai teguran Mohd Zuki supaya penjawat awam lebih kerap turun padang pula, Adnan berkata, saranan itu adalah realistik dan boleh membantu menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih pantas.

"Kita tidak boleh hanya tunggu mereka datang kepada kita untuk memberitahu masalah yang dihadapi. Bagaimanapun, tindakan turun padang ini perlu dilakukan secara seimbang tanpa mengganggu perjalanan pengoperasian pelanggan di pejabat.

"Penjawat awam juga boleh menjadikan rakyat sebagai pihak ketiga serta 'mata dan telinga' kepada agensi masing-masing bagi menyelesaikan masalah dihadapi kementerian atau agensi berkaitan," katanya.

Justeru bagi memastikan ia dapat dilaksanakan sebaik mungkin, beliau berkata, CUEPACS mencadangkan supaya kerajaan memberi ganjaran bukan bersifat konvensional atau menunggu akhir tahun, kepada kakitangan kerajaan terbabit.

"Jika fail-fail kes urusan perkhidmatan dapat mencapai atau melebihi KPI ditetapkan, mereka akan menerima ganjaran, contohnya diberikan cuti atau percutian menarik dan sebagainya.

"Ganjaran ini dapat membantu kakitangan kerajaan lebih bersemangat untuk mencapai KPI tertentu. Namun bagi mereka yang tidak memenuhi KPI ditetapkan, hukuman setimpal perlu diberikan," katanya.

Berita Harian X