ISKANDAR PUTERI: Orang ramai dinasihatkan membuat semakan dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) terlebih dahulu, jika menerima tawaran kerja dengan gaji lumayan di luar negara.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud, berkata langkah itu dapat membantu untuk
mengesahkan kesahihan ejen pekerjaan yang membuat tawaran berkenaan, bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan dan pemerdagangan manusia.
"Tawaran gaji lumayan yang meragukan dan membabitkan syarikat yang tak dikenali atau kukuh, kita perlu selidik dengan teliti terlebih dahulu latar belakang penawar pekerjaan ini.
"Rakyat negara ini perlu berhati-hati. Isu penipuan pekerjaan luar negara membabitkan sindiket yang menyasarkan rakyat negara ini kini juga semakin membimbangkan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sindiket pekerjaan itu memperdayakan mangsa yang kebanyakannya golongan muda.
Beliau berkata, kerajaan menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menyelamatkan beberapa mangsa terkandas di luar negara akibat diperdaya sindiket terbabit.
Disember lalu, Kementerian Luar dilaporkan menerima 488 laporan warganegara Malaysia, yang menjadi mangsa jenayah sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.
Daripada jumlah itu, seramai 359 orang berjaya diselamatkan, dengan 331 dibawa pulang ke Malaysia dan 28 lagi masih berada di depoh tahanan bagi membantu proses siasatan serta urusan dokumentasi di negara berkenaan sebelum dibenarkan pulang.
Statistik mangsa sindiket yang diselamatkan setakat ini ialah 227 di Kemboja, 61 (di Laos), 38 (di Thailand) dan 33 (di Myanmar).
Kerajaan ketika ini dilaporkan sedang berusaha menjejaki 129 lagi mangsa yang masih belum dapat dikesan, membabitkan Kemboja (satu kes), Thailand (lapan kes), Laos (29 kes) dan Myanmar (91 kes).
Mustapha, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, Malaysia menawarkan banyak peluang pekerjaan dengan tawaran gaji lumayan, namun ia banyak diisi oleh pekerja warga asing.
Terdahulu, beliau membuat lawatan ke di kilang kanta lekap, Ciba Vision Sdn Bhd, di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Shakib Ahmad Shakir dan Pengurus Besar Ciba Vision, Dr James Jeyadeva.