Jumaat, 10 Februari 2023 | 12:56pm
Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar melepaskan konvoi Program Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Insani: Misi Bantuan Banjir Negeri Johor di Putrajaya, hari ini. - BERNAMA
Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar melepaskan konvoi Program Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Insani: Misi Bantuan Banjir Negeri Johor di Putrajaya, hari ini. - BERNAMA

Hormati agama, elak akidah terpesong - Mohd Na'im

KUALA LUMPUR: Umat Islam wajib mematuhi dan menghormati ajaran agama, ketetapan atau fatwa yang dikeluarkan bagi memastikan akidah tidak terpesong, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata, secara umumnya, apabila sudah ada sesuatu fatwa, ketetapan berkenaan perlu dipatuhi untuk mengelakkan perbalahan dalam kalangan umat.

"Apabila pemerintah yang berkuasa sudah mengeluarkan sesuatu fatwa, jadi perlu dipatuhi untuk elak perbalahan. Persoalan hukum dan agama Islam ini terletak bawah bidang kuasa negeri, maka sudah tentu atas dasar kepakaran itulah, ia perlu dihormati," katanya.

Mohd Na'im berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelepasan Konvoi Misi Bantuan Banjir Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)-Insani ke Johor, di sini, hari ini.

Mengenai Fatwa Orang Islam Hadir Ke Upacara Ritual Perayaan Penganut Agama Bukan Islam bakal diwartakan Kerajaan Johor, beliau berkata, ketetapan itu juga perlu dipatuhi dan dihormati oleh umat Islam.

"Bagi mengelakkan perbalahan antara kaum dan dalam konteks perpaduan, fatwa ini hanya terpakai kepada orang Islam dan tidak membabitkan bukan Islam. Dalam konteks hormat-menghormati dan bagi membina perpaduan, saya rasa bukan Islam tidak perlu khuatir dengan fatwa yang dikeluarkan," katanya.

Pada 2 Februari lalu, Kerajaan Johor mengumumkan akan mewartakan Fatwa Orang Islam Hadir Ke Upacara Ritual Perayaan Penganut Agama Bukan Islam dalam masa terdekat bagi membolehkan umat Islam di negeri itu mempunyai garis panduan sebelum menyertai majlis perayaan agama bukan Islam.

Fatwa itu diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, selepas melihat kebiasaan umat Islam apabila tiba sesuatu perayaan bukan Islam dan bertujuan memberi pendidikan serta kesedaran supaya larangan tidak terus diamalkan secara berleluasa.

Berdasarkan fatwa berkenaan, masyarakat Islam di Johor dibenarkan memenuhi undangan majlis keraian sesuatu perayaan bukan Islam, tetapi tidak boleh terbabit dengan sebarang upacara atau ritual yang berkait dengan amalan agama itu.

Baru-baru ini, tular video berdurasi 27 saat memaparkan sekumpulan individu dipercayai Islam, termasuk kanak-kanak menyertai perarakan keagamaan bukan Islam bersama pedati sambil melaungkan ungkapan tertentu.

Kejadian itu didakwa berlaku di Pulau Pinang, namun setakat ini tiada pengesahan daripada pihak berwajib. Satu lagi video berasingan memaparkan seorang wanita dipercayai Islam menari di hadapan khemah pada sambutan keagamaan orang bukan Islam.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Mohd Na'im berkata, MAIWP menyumbang bantuan kewangan RM1 juta yang akan disalurkan kepada MAINJ, selain 600 unit barangan keperluan serta peralatan pembersihan bernilai RM250,000 bagi membantu mangsa banjir di negeri terbabit.

"Sebanyak 23 kenderaan akan ke Johor bermula hari ini hingga 12 Februari dan lokasi pertama akan dituju ialah di Batu Pahat dan Kluang. Seramai 75 peserta konvoi akan terbabit untuk membantu kerja pembersihan selain pemeriksaan kesihatan oleh Hospital Pusrawi dan MAIWP Healthcare," katanya.

Antara agensi terbabit ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sukarelawan Cuci-cuci MAIWP, syarikat milik MAIWP dan Briged Muda MAIWP.

Berita Harian X