KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih perolehan vaksin COVID-19, bagi memastikan ketelusan urusan berkenaan yang dibuat semasa tempoh darurat akibat penularan pandemik.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan hari ini, berkata dokumen itu bagi memberi gambaran secara komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin berkenaan dengan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan bagi memastikan ketelusan demi manfaat rakyat keseluruhan.
"Ini berikutan penemuan awal pihak Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjalankan 'due diligence' secara terperinci, khususnya terhadap terma-terma perjanjian bekalan vaksin COVID-19 yang telah ditandatangani serta dibuat semasa tempoh darurat," katanya.
Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan KKM akan membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan serta ditandatangani tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.
Kata Perdana Menteri, Kertas Putih berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang dan Dr Zaliha akan memperincikan perkara terbabit.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, KKM akan memastikan sebarang urusan perolehan, termasuk perolehan vaksin COVID-19 di bawah kementerian itu dilaksanakan dengan lebih teliti dan berintegriti serta mempunyai manfaat timbal balik kepada kerajaan.
Semasa pelaksanaan darurat, Kementerian Kewangan (MoF) menurunkan kuasa kepada KKM serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian masing-masing.
Menurut MoF, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha untuk memudah cara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin, masing-masing Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika COVID-19 melanda negara bermula 2020 sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022.
Kedua-dua kementerian itu juga diberi kelonggaran untuk menguruskan perbelanjaan berhubung pelaksanaan PICK tertakluk kepada siling peruntukan RM5.8 bilion yang diluluskan MoF.
Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut memberi penjelasan mengenainya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).