BANGKOK: Lebih RM400 juta nilai peluang dalam sektor ekonomi digital diwujudkan hasil usaha sama membabitkan syarikat Malaysia dan Thailand.
Kejayaan dilakar melalui peranan dimainkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang turut memudah cara beberapa siri kejayaan kepada lebih 40 syarikat teknologi di Malaysia serta rakan kongsi di Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, berkata kejayaan diraih melalui program Gateway, Amplify, Invest and Nurture (GAIN) yang diperkenalkan pihaknya sejak 2018, yang mana Thailand menjadi antara negara tumpuan.
"Program ini memainkan peranan penting dalam memupuk jalinan kerjasama erat dengan ekosistem Thailand termasuklah rakan saluran perniagaan, agensi kerajaan, syarikat pelaburan modal teroka, persatuan perniagaan dan syarikat korporat.
"Setakat ini, MDEC berjaya memudah cara beberapa siri kejayaan kepada lebih 40 syarikat teknologi di Malaysia dan rakan kongsi di Thailand serta menghasilkan jumlah nilai peluang melebihi RM400 juta kepada ekonomi digital negara," katanya.
Beliau berkata demikian melalui kenyataan hari ini susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) MDEC bersama Digital Economy Promotion Agency (DEPA) sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand, di sini, hari ini.
Majlis menandatangani dan penyerahan empat MoU itu turut disaksikan Anwar dan rakan sejawatnya, Prayuth Chan o-Cha sejurus selesai mesyuarat empat mata di Government House, di sini.
Tiga lagi MoU membabitkan usaha sama dalam bidang tenaga antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Electrical Generating Autority of Thailand (EGAT), selain TNB Renewables Sdn Bhd bersama Planet Utility Co Ltd dan TNB Power Generation Sdn Bhd bersama B Grimm Power Public Co Ltd.
Dalam pada itu, MDEC memaklumkan, melalui MoU terbabit, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam meningkatkan usaha antara agensi dan syarikat teknologi tempatan bersama agensi Pelaburan Thailand dan DEPA.
Katanya, usaha itu dalam meneroka peluang kerjasama perniagaan, menjana idea tuntas dan mempromosikan produk buatan Malaysia.
MoU ini juga bakal menjadi batu loncatan kepada lebih banyak syarikat teknologi Malaysia untuk menembusi pasaran Thailand dengan sokongan dan strategi oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Thailand.
Mahadhir berkata, selaras matlamat Malaysia Digital (MD), tumpuan kerjasama kedua-dua pihak adalah dalam pertukaran maklumat serta memperkasakan ekonomi digital secara keseluruhannya.
"Kerjasama ini juga akan mempercepatkan pertukaran teknologi tumpuan seperti robotik dan automasi, internet kebendaan (IoT), analisis data raya, teknologi dron dan banyak lagi.
"MoU ini juga akan memantapkan lagi sektor digital tumpuan seperti pelancongan, perdagangan, logistik, kewangan dan kesihatan yang dijangka menjana pendapatan signifikan kepada kedua-dua negara," katanya.
Antara 2018 hingga 2022, syarikat teknologi tempatan berjaya mencatatkan RM140.81 juta nilai eksport ke Thailand.