Khamis, 9 Februari 2023 | 6:32pm
Naib Pengerusi SUHAKAM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal (dari kiri); Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman dan Pengarah Eksekutif Malaysian CARE, Alvin Lim menyempurnakan gimik perasmian Program ‘Youturn Day: Welcoming Prisoners Back To The Society’ di Penjara Kajang, hari ini.
Naib Pengerusi SUHAKAM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal (dari kiri); Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman dan Pengarah Eksekutif Malaysian CARE, Alvin Lim menyempurnakan gimik perasmian Program ‘Youturn Day: Welcoming Prisoners Back To The Society’ di Penjara Kajang, hari ini.

Diskriminasi masyarakat punca bekas banduan sukar hidup di luar penjara, ulangi jenayah

KAJANG: Sesetengah bekas banduan sering dipinggirkan dan dipandang rendah oleh masyarakat, menyebabkan mereka sukar untuk mendapat pekerjaan dan tempat tinggal.

Justeru, Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal meminta masyarakat agar tidak terus menghukum bekas banduan yang sudah menerima hukuman atas kesalahan lampau.

"Bagi sesetengah bekas banduan, perkara ini (dipinggirkan masyarakat) menyukarkan kehidupan dan menyebabkan mereka mengulangi semula jenayah untuk terus hidup," katanya pada Program 'Youturn Day: Welcoming Prisoners Back To The Society' di Penjara Kajang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman serta Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara, Timbalan Komisioner Penjara, Zawari Abd Rashid.

Merujuk konsep Malaysia MADANI diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Noor Aziah berkata, madani juga boleh dirujuk sebagai memaafkan dan memberi peluang.

"Kita tahu penjara ada mengeluarkan bahan industri seperti makanan, jadi pihak industri boleh ambil mereka (bekas banduan) bekerja, beri mereka peluang kedua," katanya.

Beliau berharap program dianjurkan di Penjara Kajang hari ini dapat meningkatkan kesedaran pihak yang berkepentingan supaya proses integrasi dapat diutamakan dan ditekankan.

"Program ini inisiatif Malaysian CARE yang diilhamkan daripada Projek Reben Kuning, bertujuan menggalakkan peluang sama rata kepada bekas banduan, mengiktiraf pendamaian bersama keluarga bagi membina asas yang kukuh untuk bekas banduan.

"Ia juga untuk memberi inspirasi kepada masyarakat supaya menyokong penyepaduan semula bekas banduan," katanya.

Sementara itu, Ibrisam berkata, sistem penjara negara sudah beralih daripada hanya melaksanakan hukuman, berubah menjadi tempat pemulihan dan pembinaan semula insan.

"Melalui Reformasi Penjara yang disokong oleh Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara gigih berusaha meningkatkan bukan sahaja aspek layanan, kemudahan fizikal dan integrasi, malah turut mengemukakan cadangan berkaitan pemantauan dan pemulihan dalam komuniti.

"Perubahan ke arah bentuk pertuduhan dan hukuman alternatif oleh mahkamah juga bukan sahaja akan membantu meningkatkan keberkesanan pemulihan, tetapi turut mengurangkan kesesakan di penjara," katanya.

Beliau berkata, kesesakan di penjara kini lebih 10 peratus daripada kapasiti, manakala 15 peratus daripada banduan yang dibebaskan secara terus tanpa pemulihan dalam komuniti, kembali ke penjara dalam tempoh tiga tahun.

"Melalui sistem parol, hanya 0.4 peratus daripada mereka kembali ke penjara. Memulihkan pesalah dalam komuniti dan bukannya menghantar mereka ke penjara juga dapat mengurangkan perbelanjaan," katanya.

Katanya lagi, semua pihak terutama masyarakat sebenarnya mempunyai peranan untuk memastikan bekas banduan berjaya kembali ke dalam masyarakat.

"Jabatan Penjara amat berterima kasih kepada syarikat-syarikat yang telah menyediakan pekerjaan untuk banduan dan bekas banduan. Kami berharap lebih banyak lagi syarikat akan turut serta. Bagi setiap bekas banduan yang diupah, kerajaan memberikan pengecualian cukai sehingga RM4,000.

"Dengan kerjasama antara agensi kerajaan, majikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan keluarga banduan, kita seharusnya dapat mencapai matlamat untuk mempunyai dua pertiga banduan menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030," katanya.

Berita Harian X