BATU GAJAH: Kerajaan sedang mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan isu monopoli pengambilan pekerja asing yang dikesan menguntungkan sindiket dari negara sumber.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata mekanisme yang dicari meliputi bagaimana untuk membolehkan pemohon pekerja asing atau bakal majikan berurusan terus tanpa melalui ejen pengambilan pekerja yang menelan kos terlalu tinggi.
Kunjungan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ke tiga negara sumber, iaitu Bangladesh, Indonesia dan Nepal, baru-baru ini antaranya bagi membincangkan hal berkenaan yang membabitkan hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G).
Isu itu juga mendapat perhatian serius Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin apabila mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhenti menggunakan ejen bagi pengambilan pekerja asing kerana membabitkan kos tinggi.
"Jadi usaha sedang diambil bagi memastikan pekerja asing tidak disalah gunakan oleh mana-mana pihak untuk membuat keuntungan tinggi.
"Banyak usaha sudah diambil antaranya menerusi kunjungan KDN ke tiga negara sumber pada minggu lalu untuk berbincang mengenainya," katanya selepas Majlis Konvokesyen Akademi KTM (MyRA), hari ini.
Hadir sama ke majlis konvokesyen 315 pelajar itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTM Berhad (KTMB), Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.
Terdahulu, media melaporkan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) membantah monopoli agensi melalui sistem digital sedia ada dengan menggunakan sindiket daripada agensi pekerjaan negara tertentu bagi mengeksploitasi kemasukan pekerja asing, khususnya dari Bangladesh.
Setiausaha Agung, Dr Sukumaran Nair dilapor berkata, walaupun ribuan kelulusan sudah diberikan, namun jumlah pekerja yang tiba untuk bekerja di negara ini begitu rendah dan justeru, kerajaan diseru mengambil alih operasi sistem digital dan memperincikan struktur proses pengambilan pekerja asing dengan serta-merta.
Tambah pekerja asing
Dalam perkembangan berkaitan, Sivakumar berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melihat terdapat keperluan menambah bilangan pekerja asing kepada 518,000 berbanding jangkaan awal 500,000 pekerja menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.
Beliau berkata, pihaknya melihat masih terlalu banyak permohonan masuk diajukan kepada KSM menerusi program itu khususnya lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).
Bagaimanapun, pihaknya akan lihat sekiranya ada keperluan untuk menambah jumlah itu, namun ia mestilah tidak melebihi 2.4 juta pekerja asing seperti diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), selain tidak mengganggu peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan.