Khamis, 9 Februari 2023 | 5:25pm
Petugas perubatan menyediakan vaksin sebelum memberikan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada orang ramai. - Foto fail NSTP
Petugas perubatan menyediakan vaksin sebelum memberikan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada orang ramai. - Foto fail NSTP

Perolehan vaksin sudah diluluskan kepada Kabinet

KUALA LUMPUR: Isu perolehan vaksin tidak perlu lagi dipersoalkan kerana ia

sudah dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.

Perkara itu juga dibawa ke perhatian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2021 dan PAC mengesahkan perolehan vaksin dibuat secara teratur.

Justeru, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, berkata pembentangan Kertas Putih oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai perolehan vaksin yang didakwa tidak mengikut peraturan itu, tidak perlu dan ia hanya membuang masa.

"Semua keputusan perolehan vaksin sudah dibawa ke Kabinet untuk kelulusan. Biasanya, agensi berkaitan sudah memberi ulasan terlebih dahulu ke atas Memorandum Jemaah Menteri untuk perolehan vaksin. Saya juga percaya Jabatan Peguam Negara adalah antara agensi yang beri ulasan.

"Jadi, saya tak faham kenapa Kabinet seperti yang diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, buat keputusan untuk bentang Kertas Putih mengenai perolehan vaksin," katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Marzuki berkata, dalam laporan setebal 521 muka surat, PAC mengesahkan bahawa perolehan vaksin dibuat secara teratur.

Ketika itu, katanya, Pengerusi PAC adalah Ahli Parlimen DAP, Wong Kah Woh dan Nurul Izzah Anwar juga adalah seorang daripada anggota PAC.

BH semalam melaporkan, KKM akan membentangkan Kertas Putih mengenai perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan dan ditandatangani tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.

Ini berikutan terdapat ketirisan pada peringkat awal kerana dipercayai tidak melalui peraturan atau proses yang sepatutnya dan perolehan bagi sesetengah vaksin itu amat diragui dari segi jumlah dan kos yang terbabit.

Berita Harian X