Khamis, 9 Februari 2023 | 2:32pm
Lai (kiri) dan Ing-wen. - Foto AGENSI
Lai (kiri) dan Ing-wen. - Foto AGENSI

Presiden Taiwan derma sebulan gaji bantu Turkiye

TAIWAN: Pejabat Presiden Taiwan mengesahkan dua pemimpin utama negara itu sepakat untuk mendermakan sebulan gaji masing-masing bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye.

Keputusan itu dibuat oleh Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen dan Naib Presiden, William Lai sebagai usaha menambah bantuan sedia yang dihantar negara berkenaan.

Tsai dan Lai, yang dilaporkan bakal bertanding jawatan presiden dalam pilihan raya dijadual berlangsung tahun depan berharap dapat membantu Turkiye dalam aspek pemulihan.

"Mereka berharap dapat memainkan peranan membantu Turkiye membina semula tanah airnya secepat mungkin", kata pejabat presiden dalam satu kenyataan.

Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan, semalam mengakui wujudnya sedikit masalah membabitkan tindak balas awal kerajaan terhadap gempa itu ketika jumlah kematian yang dilaporkan di negara terbabit dan Syria melepasi angka 13,000.

Tahun lalu, Tsai dan Lai juga sama-sama menderma gaji sebulan mereka untuk membantu usaha kemanusiaan di Ukraine yang dilanda perang.

Tsai memperoleh pendapatan sekitar T$400,000 (RM57,271) sebulan.

Taiwan, yang turut sering mengalami gempa bumi sebelum ini mengumumkan bantuan bencana sebanyak T$2 juta (RM8.6 juta), selain sudah menghantar dua pasukan penyelamat ke Turkiye untuk membantu usaha mencari mangsa yang masih terperangkap.

Tsai turut menyampaikan pesanannya melalui panggilan video kepada beberapa pasukan Taiwan di lapangan, semalam. - REUTERS

Berita Harian X