Rabu, 8 Februari 2023 | 9:10pm
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ketika sidang media di Bangkok hari ini, sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand bermula esok. - FOTO BERNAMA
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ketika sidang media di Bangkok hari ini, sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand bermula esok. - FOTO BERNAMA

Malaysia-Thailand bakal meterai empat MoU

BANGKOK: Empat perjanjian persefahaman (MoU) dijangka dimeterai syarikat Malaysia dan Thailand membabitkan usaha sama dalam bidang tenaga dan ekonomi digital sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata daripada empat syarikat itu, tiga membabitkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan dua anak syarikatnya.

Beliau berkata, TNB sendiri akan menandatangani MoU bersama Electrical Generating Autority of Thailand (EGAT), selain TNB Renewables Sdn Bhd bersama Planet Utility Co Ltd dan TNB Power Generation Sdn Bhd bersama B Grimm Power Public Co Ltd.

Turut memeterai MoU ialah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama Digital Economy Promotion Agency (DEPA).

"Pemeteraian empat MoU ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara meneroka potensi kerjasama dalam bidang tenaga dan ekonomi digital yang menjadi kepentingan bersama," katanya sambil mengesahkan Perdana Menteri akan menyaksikan majlis pertukaran empat MoU berkenaan.

Zambry berkata demikian pada sidang media berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri ke Thailand di Hotel Shangri-la di sini, hari ini.

Turut hadir, Duta Malaysia ke Bangkok, Datuk Jojie Samuel.

Perdana Menteri akan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Bangkok bermula esok, antara lain mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya di Thailand, Prayut Chan-o-cha.

Ia lawatan sulung Anwar selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu dan Thailand adalah destinasi keempat selepas Indonesia, Brunei dan Singapura.

Beliau juga dijadual menyampaikan ucapan bertajuk 'The Future of ASEAN' dalam pertemuan bersama kapten industri meliputi kalangan intelektual dan masyarakat perniagaan yang terbabit dalam sektor perdagangan serta pelbagai sektor strategik Thailand.

Mengulas lawatan Perdana Menteri itu, Zambry berkata, pertemuan dijangka memberi peluang kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand meliputi kerjasama ekonomi, pembangunan kawasan sempadan dan projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.

Satu sidang media bersama juga akan diadakan di akhir pertemuan bagi memaklumkan hasil perbincangan dan perutusan yang dibincang serta dimuktamadkan kedua-dua pemimpin.

Thailand adalah rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah bernilai RM122.03 bilion (AS$27.75 bilion).

Jumlah eksport ke Thailand pada 2022 meningkat 18.9 peratus iaitu RM65.84 bilion berbanding 2021, manakala import dari negara itu turut mencatat peningkatan 16.7 peratus berjumlah RM56.19 bilion.

Berita Harian X