Rabu, 8 Februari 2023 | 8:24pm
Pekerja Restoran Bekwoh, Nur Muhammad Tarif Mat Shah menunjukkan tiga Menu Rahmah iaitu Nasi Ayam Cincang, Nasi Telur Berlada dan Nasi Gulai Termenung yang dihidangkan bersama Air Sirap berharga RM5 bagi setiap hidangan. --BERNAMA
Pekerja Restoran Bekwoh, Nur Muhammad Tarif Mat Shah menunjukkan tiga Menu Rahmah iaitu Nasi Ayam Cincang, Nasi Telur Berlada dan Nasi Gulai Termenung yang dihidangkan bersama Air Sirap berharga RM5 bagi setiap hidangan. --BERNAMA

Doktor perkenal menu Rahmah di Perlis

KANGAR: Kesusahan ketika bergelar mahasiswa perubatan di Russia kira-kira 15 tahun lalu mendorong seorang pemilik rangkaian klinik swasta yang juga pengusaha restoran menawarkan menu Rahmah di negeri ini.

Pemilik Restoran Bekwoh, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad, 38, berkata beliau terpanggil untuk menyahut saranan kerajaan bagi meringankan beban golongan B40 dengan memperkenalkan tiga menu Rahmah.

"Ketika belajar di Russia saya pernah belajar memasak, dari situ timbul minat untuk terbabit dalam perniagaan makanan.

"Buat permulaan saya perkenalkan tiga menu Rahmah iaitu nasi ayam cincang, nasi telur berlada dan nasi gulai ikan termenung (ikan kembung) bersama air sirap dengan harga RM5 bagi setiap hidangan," katanya kepada BERNAMA, di sini hari ini.

Bapa kepada tiga anak itu berkata hatinya tersentuh apabila melihat seorang lelaki berpakaian lusuh membawa tiga anak untuk menikmati menu Rahmah di restorannya semalam.

"Pada kebiasaannya satu hidangan nasi bersama sejenis lauk, sayur dan air boleh mencecah RM10. Saya rasa gembira secara tidak langsung dapat membantu golongan B40 dengan menawarkan menu Rahmah pada harga serendah RM5," katanya.

Dr Ahmad Fadhzil berkata, sebagai seorang pengamal perubatan beliau memastikan bahawa menu yang disediakan adalah sihat dan mengandungi zat makanan seimbang seperti protein, karbohidrat dan fiber.

"Alhamdulillah sambutan yang diterima sejak hari pertama menu Rahmah dijual semalam amat menggalakkan khususnya daripada pelajar sekolah dan orang ramai," katanya.

Dr Ahmad Fadhzil berkata, beliau bercadang untuk menambah menu Rahmah di restoran pada masa akan datang agar pelanggan tidak jemu menikmati menu yang sama.

Sementara itu, seorang Tiktoker, Sharifah Shafinaz Syed Azmi, 29, mesra dengan panggilan Pinat berkata sebagai menyokong usaha mempromosi menu Rahmah yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dia mengadakan ulasan makanan di gerai dan restoran yang menjual menu Rahmah di akaun TikToknya Pinatreview.

"Dengan cara ini saya dapat memberi maklumat kepada peminat TikTok khususnya golongan B40 di mana mereka boleh dapatkan menu Rahmah pada harga serendah RM5," katanya yang mempunyai 226,100 pengikut.

Beliau berkata di Perlis terdapat banyak kedai makanan yang masih menjual menu makanan pada harga RM5 namun ramai masih tidak mengetahuinya.– BERNAMA

Berita Harian X