Rabu, 8 Februari 2023 | 8:09pm
 Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

'PH, BN pasti sukar bahagikan kerusi untuk PRN'

ALOR SETAR: Proses rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dijangka akan menemui jalan buntu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ini kerana akan berlaku perebutan kerusi antara parti komponen PH dan BN terutama di kawasan majoriti Melayu.

Katanya, UMNO pasti akan membuat tuntutan bertanding di kawasan majoriti Melayu yang mana parti komponen dalam PH turut mempunyai hasrat sama.

"Saya rasa PH dan BN akan berebut kerusi, pembahagian yang sangat sukar, kerana tentu kerusi Melayu akan dituntut oleh UMNO dan BN untuk menentang Perikatan Nasional (PN).

"Orang lain pun nak juga kerusi itu, saya rasa 'perkahwinan' ini akan menemui kegagalan dan perceraian, ia susah saya tahu, nampak pun sukar," katanya selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Kontinjen Kedah sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah, berkata pihaknya mengalu-alukan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar untuk bertanding bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN ini.

Beliau turut mencadangkan supaya Mahfuz yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Pokok Sena bertanding di di mana-mana DUN sama ada Derga, Alor Mengkudu atau Bukit Lada.

"Dia (pun) kalah di Pokok Sena (dengan majoriti besar) 31,000 (undi), saya ucap selamat kembali untuk bertanding di kerusi DUN pula, (saya alu-alukan beliau) cuba nasib di mana-mana (DUN), seperti Alor Mengkudu, Bukit Lada, Derga untuk kita berentap di medan politik.

"Kalau nak bercakap siapa pun boleh, (tetapi kalau sampai) 31,000 (undi) majoriti, (susah Mahfuz) nak cover balik (dalam PRN akan datang)," katanya.

Semalam, Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH, dilaporkan berkata belum ada perbincangan serius membabitkan gabungan PH dan BN, namun kedua-dua pihak ada bercakap mengenai perkara itu secara tidak rasmi.

Beliau juga yakin gabungan ini mampu memecah dominasi PAS di Kedah memandangkan tiada apa yang mustahil dalam politik.

Dengan memberikan contoh Kerajaan Terengganu yang ditadbir PAS selama satu penggal oleh Presiden PAS bermula 1999 sehingga 2004, Mahfuz berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku di Kedah, apatah lagi kerajaan negeri di bawah pimpinan Muhammad Sanusi didakwa hanya tertubuh hasil pengkhianatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, situasi yang berlaku ketika itu adalah disebabkan pembabitan individu seperti Mahfuz yang bersama PAS sebagai pemimpin utama.

"Waktu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memerintah satu penggal (di Terengganu), pemimpin utama (dalam PAS ketika itu adalah (orang seperti) Mahfuz, maka kita tidak dapat pertahan Terengganu, kerana pemimpin kita macam itu," katanya.

Berita Harian X