Rabu, 8 Februari 2023 | 4:15pm

Kumpulan warga asing miliki kepakaran ekstrak REE

SIK: Seramai 47 warga asing yang ditahan di Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang di sini, pada minggu lalu, dikatakan dibawa masuk ke negara ini kerana mempunyai kemahiran khusus dalam proses mengekstrak unsur nadir bumi (REE).

Sumber berkata, seramai 34 warga Myanmar, 10 warga China, dua warga Nepal dan seorang warga Turkiye, berpengalaman menggali serta memproses bahan bernilai tinggi berkenaan di luar negara sebelum ini.

Katanya, mereka yang dibantu warga tempatan dipercayai masuk ke tapak penerokaan REE Bukit Enggang sejak tahun lalu lagi, bagi melakukan kerja mengeluarkan bahan itu secara haram.

"Pekerja warga asing ini ada kemahiran tinggi dalam kerja mengorek REE, mereka pernah melakukan kerja ini di luar negara. Sebab itu ada pihak sanggup bawa mereka masuk sampai ke Bukit Enggang.

"Mereka duduk berbulan lamanya di atas bukit, tidak boleh keluar ke mana-mana. Semua makanan dan bahan keperluan dibawa naik ke atas bukit setiap minggu," katanya ketika ditemui, hari ini.

Semalam, BH melaporkan 52 warga asing dan tempatan ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) ketika sedang menjalankan aktiviti penerokaan REE bernilai jutaan ringgit secara haram di Hutan Simpan Bukit Enggang, pada Rabu minggu lalu.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut bertindak merampas kenderaan pacuan empat roda (4WD), jentera berat, lori, peralatan mengorek dan bahan kimia yang digunakan dalam proses mengekstrak REE.

Difahamkan, operasi memburu saki baki warga asing dan menyita semua jentera serta peralatan di tapak penerokaan REE terbabit akan dilakukan sehingga minggu depan.

Sumber memaklumkan, operasi dilakukan JPNK kali ini dalam skala besar kerana turut membabitkan kerja memusnahkan makmal dan sistem paip yang dibina kumpulan warga asing berkenaan.

"Mereka dipercayai sempat bersembunyi ketika serbuan pertama dibuat JPNK ke Bukit Enggang pada Oktober tahun lalu dan mereka kembali ke tapak sama sejak beberapa bulan lalu.

"Ketika ini, anggota JPNK masih berusaha memburu saki baki kumpulan warga asing terbabit yang dipercayai masih berada di sekitar kawasan hutan simpan berkenaan," katanya.

Difahamkan ketika ini, seramai lima warga tempatan yang ditahan JPNK sudah dibebaskan, manakala semua warga asing yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen kerana melakukan kesalahan berkaitan dokumen perjalanan.

Tinjauan dilakukan wartawan dan jurugambar BH di Hutan Simpan Bukit Enggang hari ini, mendapati kawasan berkenaan dikawal ketat anggota penguat kuasa JPNK dan pihak polis yang turut mendirikan pos kawalan sementara.

Turut dilakukan di lokasi terbabit adalah kerja memindahkan semua jentera dan peralatan digunakan dalam kerja mengorek REE yang kemudian dibawa ke Pejabat Perhutanan Renjer Jeniang dan Sik.

Bagaimanapun, usaha pihak media untuk masuk ke tapak penerokaan haram REE di Bukit Enggang gagal apabila dihalang anggota penguat kuasa JPNK berikutan lokasi itu masih dalam kawasan operasi pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengarah JPNK, Muhammad Abdullah ketika dihubungi hari ini, berkata pihaknya kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Selepas lengkapkan siasatan, kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, ia terpulang kepada beliau sama ada akan kenakan kompaun atau tindakan lain.

"Apa pun kita tunggu dulu, selepas semuanya lengkap saya akan maklum, setakat ini saya tidak boleh ulas lanjut kes tangkapan berkenaan," katanya.

 Kakitangan JPNK menyekat laluan masuk ke lokasi haram kegiatan mengorek unsur nadir bumi REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Kakitangan JPNK menyekat laluan masuk ke lokasi haram kegiatan mengorek unsur nadir bumi REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Berita Harian X