Rabu, 8 Februari 2023 | 4:08pm
Sebahagian lapan warga asing yang ditahan ketika serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di Jalan Penang, di sini. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Sebahagian lapan warga asing yang ditahan ketika serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di Jalan Penang, di sini. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli

Siang tukang cuci, malam 'jual diri'

GEORGETOWN: Pekerja di syarikat pembersihan atau tukang cuci antara yang ditahan dalam satu operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di Jalan Penang, malam tadi kerana disyaki terbabit dengan kegiatan persundalan.

Serbuan pada jam 11.30 malam itu dilakukan hasil maklumat dan risikan pihak JIM sejak seminggu lalu.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Shah Inor Shahbudin, berkata serbuan susulan risikan pihaknya mendapati wanita warga asing yang datang ke pusat hiburan itu menawarkan perkhidmatan pelacuran kepada pelanggan lelaki.

Katanya, didapati wanita warga asing itu mempunyai pekerjaan tetap pada waktu siang dan melakukan kegiatan tidak bermoral pada malam hari.

"Siasatan mendapati wanita itu akan membawa pelanggannya pulang ke rumah atau lokasi lain bagi perkhidmatan persundalan.

"Namun, kita masih menjalankan siasatan berhubung tawaran harga serta modus operandi digunakan bagi mendapatkan pelanggan," katanya.

Shah Inor berkata, terdapat kira-kira 20 pelanggan warga asing dan tempatan ketika serbuan.

Pemeriksaan keseluruhannya mendapati seramai lapan warga Indonesia tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka yang ditahan berusia antara 30 hingga 40-an dan terdiri daripada dua lelaki serta enam wanita.

"Semua yang ditahan dibawa ke pejabat imigresen bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Berita Harian X