Rabu, 8 Februari 2023 | 3:23pm

Taman Eko Rimba di Terengganu dibuka bulan depan

KUALA TERENGGANU: Tujuh Taman Eko Rimba di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) kembali dibuka kepada pengunjung bulan depan.

Ia membabitkan Taman Rekreasi Sekayu, Hulu Terengganu; Lata Payung (Setiu); Air Menderu (Kemaman); Chemerung dan Rimba Bandar Bukit Bauk (Dungun); Lata Belatan dan Lata Tembakah (Besut) yang ditutup mulai 1 November lalu.

Penolong Pengarah Kanan (Pembangunan) JPNT, Helmy Tariq Othman, berkata pembukaan itu bagaimanapun bergantung keadaan Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

Beliau berkata, sekiranya keadaan cuaca bertambah baik, kawasan terbabit akan dipertimbangkan dibuka dengan lebih awal kepada pengunjung.

"Setakat ini Taman Eko Rimba di bawah kita masih belum dibuka kepada pengunjung kerana didapati MTL masih belum berakhir di negeri ini.

"Justeru, kita mahu memastikan kawasan terbabit selamat dikunjungi dan dijangkakan Mac ini akan dibuka kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti pendakian dan perkelahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pokok Landskap di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.

Helmy berkata, pihaknya juga sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan terbabit bagi mengelak orang ramai menceroboh masuk ke kawasan itu.

"Setakat ini, kita belum menerima apa-apa laporan orang ramai melakukan aktiviti ke kawasan terbabit dan kita harap semua pihak mematuhi arahan ditetapkan," katanya.

Helmy Tariq Othman menanam pokok pada Majlis Penyerahan Pokok Landskap di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini. - Foto NSTP/Faizul Azlan Razak
Helmy Tariq Othman menanam pokok pada Majlis Penyerahan Pokok Landskap di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini. - Foto NSTP/Faizul Azlan Razak
Berita Harian X