PUTRAJAYA: Kerajaan menyerahkan kepada Parlimen untuk membuat keputusan mengenai tindakan yang perlu diambil membabitkan isu Batu Puteh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyediakan Kertas Putih mengenainya.
Menyifatkan itu sebagai isu yang tidak berkesudahan, Anwar berkata, laporan pasukan khas membantah keputusan pentadbiran sebelum ini untuk merayu keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Beliau berkata, akibatnya negara terlepas satu wilayah kepada Singapura.
"Menteri undang-undang akan menyiapkan kertas menteri atau kertas putih mengenai sekali lagi isu Batu Puteh yang tidak berkesudahan.
"Sebab itu, Jemaah Menteri bincang panjang mengenai langkah-langkah yang harus diambil.
"Dan, keputusannya (meletakkan kepada) kebijaksanaan Parlimen, selepas memberikan maklumat lengkap mengenai keadaan sebenarnya," katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Beliau berkata, seperti mana-mana negara di dunia, kehilangan wilayahnya ke negara lain, adalah satu masalah besar.
Media pada Disember lalu, melaporkan, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun diminta mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh.
Anwar dilaporkan berkata, mesyuarat Kabinet pada 14 Disember lalu sudah meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap pulau yang kini sudah diserahkan kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangs (ICJ) sebelum ini.
Batu Puteh ialah sebuah batu tunggul kira-kira 7.7 batu nautika (14 km), selatan Tanjung Penyusup, Johor dan 25 batu nautika (44 km) timur Singapura.
Kawasan itu kini menjadi milik Singapura, susulan pertikaian dibawa Malaysia dan Singapura ke ICJ pada 2003.
ICJ pada 2008 memutuskan Batu Puteh milik Singapura.
Baru-baru ini dalam penulisan oleh Azalina, beliau menyatakan Batu Puteh yang terletak di pintu masuk timur Selat Singapura, mempunyai rumah api, helipad, loji penyahgaraman dan lebih penting lagi stesen penyiaran semula tentera.
Sebelum ini dilaporkan ada penemuan tiga dokumen di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017 yang mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan ICJ berhubung Batu Puteh pada 2 Februari 2017 di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ini termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an yang memperaku Batu Puteh tidak menjadi sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura dalam tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, pada 11 Jun 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan.