Rabu, 8 Februari 2023 | 2:52pm

Kertas Putih perolehan vaksin, kos berkaitan akan dibentang di Parlimen - PM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan dan ditandatangani tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memaklumkan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, di sini hari ini, berkata Kertas Putih berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang.

"KKM akan bentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin dan kos yang berkaitan, sebahagiannya tidak mengikut peraturan dan ditandatangani menteri tanpa persetujuan Peguam Negara," katanya.

Perdana Menteri berkata, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa akan memperincikan perkara terbabit apabila Kertas Putih berkenaan dibentangkan nanti.

"Kertas Putih ini akan dibentangkan kerana pada peringkat awal, dikesan terdapat ketirisan kerana dipercayai tidak melalui peraturan atau proses yang sepatutnya. Perolehan bagi sesetengah vaksin ini amat diragui dari segi jumlah dan kos yang terlibat," katanya.

Tanpa mendedahkan menteri terlibat yang perlu memberi penjelasan, Anwar berkata: "Soal utama bukan siapa menteri, tetapi menteri-menteri terlibat perlu jawab dan memberi penjelasan berhubung perkara itu".

Kementerian Kewangan (MoF) sebelum ini menurunkan kuasa kepada KKM serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian masing-masing.

Menurut MoF, langkah berkenaan sebahagian daripada usaha untuk memudah cara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin adalah Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika COVID-19 melanda negara bermula 2020 sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.

Kedua-dua kementerian itu juga diberi kelonggaran untuk menguruskan perbelanjaan berhubung pelaksanaan PICK tertakluk kepada siling peruntukan RM5.8 bilion yang diluluskan MoF.

Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut memberi penjelasan mengenainya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof pada sidang media di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof pada sidang media di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Berita Harian X