Rabu, 8 Februari 2023 | 2:38pm
 Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Jawatankuasa mulakan rundingan agihan kerusi PRN - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: Pengarah pilihan raya dan wakil parti gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Parti Sabah (GRS) serta Parti Warisan (WARISAN) akan memulakan siri rundingan kerusi bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata rundingan itu akan dijalankan menerusi Jawatankuasa Perundingan Kerusi yang ditubuhkan dalam mesyuarat pertama sekretariat itu malam tadi.

"Jawatankuasa ini akan membabitkan pengarah-pengarah pilihan raya dan wakil-wakil parti gabungan utama (PH, BN, GPS dan GRS) dan WARISAN untuk memulakan perundingan kerusi bagi menghadapi PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada sidang media selepas mesyuarat sekretariat itu malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan penubuhan tiga jawatankuasa membabitkan semua parti dalam kerajaan iaitu Jawatankuasa Komunikasi Strategi, Jawatankuasa Perundingan Kerusi Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

Mengulas lanjut Asyraf berkata, Jawatankuasa Komunikasi Strategik akan menyelaras dan merencanakan program penerangan bersama di kalangan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan sehingga ke akar umbi di samping menangani optik dan naratif komunikasi kepada rakyat menggunakan pelbagai platform media.

Katanya, bagi Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik pula, ia akan menyelaraskan dan menilai pencapaian dalam aspek pelaksanaan inti pati manifesto parti-parti gabungan oleh kerajaan bagi manfaat rakyat terutamanya yang berhubung dengan kesejahteraan hidup, bebanan kos sara hidup rakyat, pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

"(Selain itu) menyediakan kertas-kertas perancangan strategik mengenai hala tuju kerjasama dan masa hadapan hubungan setiap parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.

Asyraf berkata, sekretariat Kerajaan Perpaduan juga kini didukung oleh empat parti gabungan iaitu PH, BN, GPS dan GRS serta satu parti tunggal iaitu WARISAN.

"Ini bermakna secara keseluruhannya, terdapat 20 parti-parti yang mendukung dan menyokong Kerajaan Perpaduan dengan jumlah 148 Ahli Parlimen yang menyamai dua pertiga majoriti dalam Parlimen," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat malam tadi juga sebulat suara bersetuju melantik Anwar sebagai Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, sementara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Setiausaha Agung dan dirinya sebagai ketua sekretariat.

"Setiap ketua-ketua parti sama ada presiden ataupun bagi sesetengah parti Setiausaha Agung yang menjadi ketua parti akan dilantik secara automatik menjadi timbalan-timbalan pengerusi bagi Sekretariat Kerajaan Perpaduan," katanya.

Berita Harian X