Rabu, 8 Februari 2023 | 2:01pm

7 termasuk 6 pegawai, anggota polis didakwa hari ini kes bunuh pemandu e-hailing

KOTA KINABALU: Tujuh suspek termasuk enam pegawai dan anggota polis, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, petang ini, atas pertuduhan membunuh seorang pemandu e-hailing di ladang kelapa sawit di Batu 5 Jalan Apas, Tawau, 13 Januari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes pembunuhan lelaki tempatan itu dan mengemukakannya kepada Pejabat Peguam Negara, semalam.

"Enam pegawai serta anggota PDRM dan seorang individu awam akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.

"Pihak polis juga telah menuduh seorang wanita awam yang merupakan isteri mangsa, atas kesalahan sama pada 30 Januari lalu.

"Semua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 kanun sama kerana bersubahat.

"Ia memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Idris berkata, lapan pegawai dan anggota PDRM serta tiga orang awam ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pada 16 Januari lalu, mayat seorang lelaki warga emas ditemukan di sebuah ladang sawit di Batu 5 Jalan Apas, Tawau, dipercayai mangsa bunuh. Turut dijumpai bersebelahan mayat mangsa dikenali sebagai Nurman Bakaratu, 61, ialah sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih.

Laporan media sebelum ini memetik Idris sebagai berkata, kejadian itu dipercayai bermotifkan cemburu dan lebih kepada bersifat peribadi.

Berita Harian X