Selasa, 7 Februari 2023 | 10:36pm

Tiga jawatankuasa isu dasar, strategi dan pilihan raya dibentuk

KUALA LUMPUR: Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang bermesyuarat buat kali pertama malam ini, bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa bagi memberi pandangan mengenai dasar kerajaan dan isu berkaitan pilihan raya serta strategi.

Ia merangkumi Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda dan Politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Jawatankuasa Strategi adalah untuk berdepan komunikasi dan kenyataan fitnah melampau terhadap Kerajaan Perpaduan.

Sebagai contoh, beliau berkata, isu pembakaran al-Quran di luar negara baru-baru menyaksikan ada beberapa tokoh agama mendakwa Kerajaan Perpaduan seolah-olah tidak mengambil tindakan terhadap isu berkenaan.

"Ketika itu, kita sudah menyatakan kenyataan keras dan mengecam insiden itu, malah Kementerian Luar turut memanggil duta Sweden.

"Saya juga mengarahkan pencetakan sejuta naskhah al-Quran untuk diedar ke seluruh dunia," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan, malam ini.

Mesyuarat dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Yang turut hadir, pimpinan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Anwar berkata, Jawatankuasa Pilihan Raya memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, jawatankuasa itu juga akan memberi tumpuan kepada soal pembahagian kerusi dan memastikan semua parti gabungan yang bertanding mempunyai tapak kukuh dalam menghadapi PRN.

"Satu hal yang disepakati adalah semua parti termasuk di Sabah dan Sarawak memberi komitmen untuk terus membantu sebagai satu pasukan," katanya.

Anwar berkata, Jawatankuasa Pemantauan Agenda dan Politik akan membabitkan manifesto parti dan juga kos sara hidup rakyat.

"Jawatankuasa ini bertanggungjawab dalam pelaksanaan manifesto parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan serta kos sara hidup," katanya.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat terbabit turut dibentangkan data analisis mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) secara menyeluruh oleh dua pakar.

Katanya, berdasarkan fakta dan data penuh, dirumuskan bahawa Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan pelbagai parti, mendapat sokongan mencecah dua pertiga daripada keseluruhan pengundi.

"Ini memberi kelebihan kepada kita dan kenyataan yang saya lakukan ini adalah bagi memperkuatkan tekad kita untuk bekerja sebagai satu pasukan yang padu dan mantap.

"Hal ini disepakati malam ini dan bukan setakat itu, kita bersetuju membentuk struktur pimpinan yang akan bersidang setiap bulan.

"Ketua-ketua parti gabungan akan menjadi timbalan pengerusi manakala pimpinan lain sebagai naib pengerusi," katanya.

Beliau berkata, berkata, Fadillah dilantik sebagai Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan manakala jawatan ketua sekretariat dijawat oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Anwar menegaskan, pimpinan parti yang lain akan menganggotai majlis pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn malam ini. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri). - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn malam ini. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri). - Foto BERNAMA
Berita Harian X