PUTRAJAYA: UMNO belum mengadakan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) berhubung hasrat beberapa pemimpin dan ahli parti berkenaan yang dikatakan mahu menyertai PH.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sehingga ini tidak ada pimpinan PH yang menyatakan perkara itu kepadanya.
"Setakat ini belum dibincang dengan saya lagi," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau juga tidak menyatakan sama ada perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dijangka diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini.
Mesyuarat berkenaan dijangka dihadiri Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan komponen PH.
Semalam, media melaporkan Anwar sebagai berkata, pihaknya belum lagi membuat sebarang keputusan sama ada untuk menerima beberapa bekas pemimpin UMNO yang menyuarakan hasrat untuk menyertai gabungan itu.
Anwar dilaporkan berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan pimpinan UMNO tidak lama lagi sebagai menghormati kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
UMNO sebelum ini memecat 44 ahlinya termasuk bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membabitkan pelbagai kesalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).