KUALA LUMPUR: Sebarang perkara yang boleh menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk penetapan penggal Parlimen perlu mendapat perkenan baginda dan Majlis Raja-Raja terlebih dulu.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pindaan Perlembagaan berhubung perkara itu, bagi membolehkan penetapan tarikh pilihan raya umum (PRU) lebih awal hanya boleh dibuat selepas mendapat kebenaran baginda.
"Apabila sesuatu perkara menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong, maka perkenan baginda dan Majlis Raja-Raja perlu didapati terlebih dulu.
"Kita tidak boleh mendahului raja kerana jelas dalam Perlembagaan, apabila sesuatu perkara dibuat, keistimewaan dan hak baginda tidak boleh terjejas.
"Jika undang-undang menetapkan tarikh pilihan raya, ini bermakna kuasa baginda sudah terbatas. Perkara ini hanya boleh dibuat jika baginda dan raja memberi perkenan untuk ia dibuat secara prinsipnya.
"Selepas itu, barulah kerajaan boleh mengkaji soal undang-undang itu," katanya kepada BH.
Beliau mengulas kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul bahawa tarikh PRU wajar ditetapkan lebih awal dan hanya diadakan selepas Dewan Rakyat melengkapkan penggalnya, supaya kerajaan dan pembangkang dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membangunkan negara.
Dalam temuramah bersama BH, baru-baru ini, Johari menyifatkan cadangan disuarakan beberapa pihak sebelum ini adalah yang terbaik bagi mengelakkan ahli Parlimen sibuk memikirkan hal politik berkaitan pilihan raya, berikutan tarikh PRU hanya diputuskan selepas Dewan Rakyat dibubarkan.
Di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memprorog dan membubarkan Parlimen.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, isu penetapan penggal Parlimen pernah beberapa kali dibangkitkan sebelum ini, termasuk ketika dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Bagaimanapun, katanya, tumpuan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika itu, diberikan kepada isu yang lebih kritikal seperti lompat parti, selain urusan pentadbiran negara ketika pandemik COVID-19 dan sumber kewangan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), seperti yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).
"Jadi dengan sendirinya, kerajaan tahu mengenai kerangka ini. Apa yang penting adalah di mana keutamaan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Jika keutamaan menjurus ke arah itu, maka tidak jadi satu masalah. Ia juga sudah dilaksanakan di beberapa negara Komanwel, antaranya England," katanya.
Sementara itu, Pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata kerajaan masih mempunyai pilihan untuk membubarkan Parlimen lebih awal sebelum tamat penggal atau menunggu pembubaran secara automatik, selagi tiada pindaan Perlembagaan tertentu dibuat,
"Ketika ini, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara untuk menolak pembubaran. Jika Perlembagaan dipinda, maka kuasa budi bicara itu akan dihapuskan.
"Mengenai sama ada proses pembubaran jika pindaan itu dibuat masih membabitkan Yang di-Pertuan Agong, ia perlu dibincangkan termasuk kemungkinan proses itu masih memerlukan perkenan dan pengisytiharan oleh baginda," katanya.
Nik Ahmad Kamal yang juga Ketua Kluster Perundangan, Governans dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), menjelaskan di bawah undang-undang di United Kingdom, hayat Parlimen ditetapkan selepas satu-satu PRU diadakan.
"Justeru, tidak perlu spekulasi kerana bila Parlimen dibubar dan PRU akan diadakan sudah ditetapkan," katanya.