Selasa, 7 Februari 2023 | 4:59pm
Pihak berkuasa memantau keadaan banjir di Kemaman malam tadi - Foto ihsan APM
Pihak berkuasa memantau keadaan banjir di Kemaman malam tadi - Foto ihsan APM

Banjir melanda Kemaman

KUALA TERENGGANU: Banjir mula melanda Terengganu berikutan cuaca hujan berlarutan hari ini.

Sehingga jam 4 petang ini, seramai 47 mangsa banjir dari 14 keluarga di daerah Kemaman ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor dan Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, pagi tadi, seramai 28 mangsa membabitkan sembilan keluarga dipindahkan ke dua PPS sama sekaligus Terengganu negeri terbaharu dilanda banjir susulan cuaca tidak menentu ketika.

Dalam pada itu, paras air di kebanyakan sungai di Terengganu masih menunjukkan trend peningkatan.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat jam 3 petang, dua sungai masing-masing merekodkan melepasi paras amaran manakala satu lagi direkodkan melepasi paras waspada.

Dua sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras amaran adalah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun dengan bacaan 11.85 meter (m) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman bacaan 18.30 m.

Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu pula melepasi paras waspada dengan bacaan 18.27 m.

Terdahulu, banjir luar jangka yang melanda Terengganu bermula 18 Disember tahun lalu menyaksikan lebih 40,000 mangsa membabitkan semua lapan daerah ini terjejas.

Berita Harian X