PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneruskan usaha memerangi jenayah rasuah dalam usaha menjadikan negara ini bersih daripada gejala berkenaan.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata tindakan dan penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak dalam menanganinya.
"Jentera pentadbiran perlu sentiasa peka terhadap perubahan semasa dan mengambil kira pelbagai saluran maklumat seperti maklum balas, nasihat dan aduan.
"Ia bagi memastikan inisiatif yang dirangka sentiasa relevan dan terus menjadi panduan serta rujukan," katanya berucap melancarkan Inisiatif Pencegahan Rasuah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud dan Ketua Pegawai Risiko, Integriti dan Governans HRD Corp, Siti Fatimah Abdullah.
Sivakumar berkata, Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) HRD Corp melambangkan usaha agensi itu dalam memerangi rasuah dengan menggariskan empat objektif strategik yang memberi fokus kepada tadbir urus, pentadbiran, perolehan dan penguatkuasaan.
Katanya, sebanyak 27 inisiatif strategik dikenal pasti menerusi pelan itu bagi membendung salah laku rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan seterusnya memperkasakan tadbir urus terbaik serta berintegriti di HRD Corp.
Beliau berkata, Malaysia perlu meningkatkan usaha untuk melaksanakan aktiviti antirasuah bagi mewujudkan persekitaran bebas rasuah dalam sektor awam dan swasta.
"Usaha pencegahan rasuah menjadi fokus utama kerajaan kerana rakyat giat memerhati dan menghakimi kualiti perkhidmatan kerajaan dan agensinya.
"Perkhidmatan yang baik tanpa rasuah memberikan persepsi lebih baik, sekali gus menambah baik skor CPI negara pada masa depan.
CPI negara tahun lalu naik dari tangga 62 kepada 61 daripada 180 negara, namun indeks dikeluarkan Transparency International (TI) menunjukkan skor negara turun satu mata kepada 47 berbanding 48 pada tahun sama.