ALOR SETAR: Kerajaan negeri digesa memperketatkan penguatkuasaan di kawasan hutan simpan miliknya bagi mengelak kegiatan pencerobohan selepas berlakunya penerokaan unsur nadir bumi (REE) secara haram kali kedua di Bukit Enggang, Sik, baru-baru ini.
Penasihat Kelab Sahabat Alam Sik dan Grass Kedah, Mohd Sobri Ramlee, berkata hutan simpan di negeri ini, dilihat begitu mudah 'dibolos' pihak tertentu sehingga isu kecurian sumber berlaku berulang kali.
Katanya, setiap jabatan berkaitan perlu memainkan peranan untuk memastikan sumber asli bumi Kedah tidak dicuri dengan mudah.
"Kejadian curi REE ini mula berlaku tahun lalu, dan seorang lelaki dikompaun RM630,000 sahaja sedangkan lelaki itu dipercayai hanya bekerja sebagai pemandu lori yang mengangkut REE.
"Bagaimana seorang pemandu lori mampu membayar jumlah sebanyak itu, berkemungkinan ada yang individu atau syarikat yang membayar kompaun untuk lelaki terbabit.
"Kenapa kerajaan tidak dedahkan secara terperinci nama syarikat atau pihak yang melakukan aktiviti berkenaan, saya yakin kejadian curi REE ini berlaku kali kedua dalam jarak hanya beberapa bulan sahaja," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Sobri berkata aktiviti penerokaan REE di Bukit Enggang dikhuatiri akan menjejaskan sumber air penduduk tempatan sekiranya ia tidak dikawal.
Katanya, ramai penduduk tempatan sekitar Sungai Senam masih menggunakan sumber air tandak atau air dari bukit berkenaan untuk kegunaan harian termasuk diminum.
"Sebelum ini aktiviti pembalakan untuk ladang hutan seluas 500 hektar di Bukit Enggang menyebabkan ramai penduduk terjejas berikutan bekalan air tandak keruh dan perlahan.
"Apabila ada penerokaan REE, kita bimbang bahan kimia yang diguna mengandungi radioaktif berunsur rendah yang boleh menyebabkan pengguna air masyarakat berisiko terdedah dengan penyakit bahaya," katanya.
Pada masa sama, beliau turut mempertikai bagaimana kerajaan negeri akan melaksanakan penerokaan REE secara sah berikutan belum ada prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan bagi untuk menjalankan aktiviti itu.