KUANTAN: Kebanyakan penduduk Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan, di sini, menyangka mereka sudah terlepas daripada gelombang banjir, namun sangkaan meleset apabila kawasan perumahan itu dinaiki air, hari ini.
Penduduk taman perumahan berkenaan antara 300 mangsa banjir yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Wisma Belia, di sini, yang dibuka kira-kira 10.30 pagi tadi.
Mangsa banjir, Mohd Yazid Danial, 57, berkata tahun ini adalah kali keempat dia berpindah ke PPS sejak tujuh tahun menetap di PAKR Sungai Pandan.
"Saya ingat tahun ini sudah terlepas daripada musibah ini selepas melihat tempat-tempat lain teruk dilanda banjir sebelum ini, namun tidak menyangka rupanya gelombang banjir masih belum habis," katanya ketika ditemui, di sini.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kawasan rumahnya dinaiki air selepas pulang dari menghantar anak ke sekolah kira-kira 10 pagi.
"Saya lihat jalan masuk ke taman perumahan sesak teruk, rupa-rupanya orang ramai mula menyelamatkan kereta masing-masing. Saya sempat menyelamatkan barang berharga termasuk kelengkapan sekolah anak sebelum datang ke PPS ini," katanya.
Penduduk PAKR Sungai Pandan, Radzi Awang, 70, berkata dia langsung tidak membuat persediaan kerana tidak menyangka akan berlaku banjir lagi.
"Tahun lalu agak lewat berlaku banjir di kawasan ini berbanding tahun sebelum ini dan saya ingat sudah terlepas dari terkena banjir.
"Ini adalah kali ketiga saya berpindah ke PPS sejak tiga tahun tinggal di situ," katanya yang berpindah bersama isteri, Umi Khaltum Othman, 57.