JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyarankan supaya semua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) turut melaksanakan inisiatif Menu Rahmah di universiti masing-masing.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu antara lain bagi membantu meringankan beban kumpulan sasar termasuk golongan pelajar daripada keluarga B40.
"Kita berharap perkara yang baik seumpama ini akan turut disambut baik oleh IPTS.
"Bila program ini diperkenalkan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kita akan pastikan universiti sediakan ruang untuk laksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan kunjungan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh serta Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.
Jumaat lalu, Mohammed Khaled dilaporkan berkata, KPT akan melaksanakan program Menu Rahmah di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam masa terdekat dan sedang bekerjasama dengan KPDN untuk melaksanakan program berkenaan.
Semalam, Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub pula dilaporkan berkata, akan melancarkan Menu Rahmah di 20 kafe institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekitar Lembah Klang selepas Aidilfitri ini sebelum diperluas ke IPTA lain di seluruh negara.