Isnin, 6 Februari 2023 | 12:10pm
Anggota penguatkuasa DBKL mengalih barangan yang dijual oleh penjaja warga asing sekitar Pasar Harian Selayang.
Anggota penguatkuasa DBKL mengalih barangan yang dijual oleh penjaja warga asing sekitar Pasar Harian Selayang.

Sokongan rakyat tempatan punca penjaja warga asing berleluasa

KUALA LUMPUR: Rakyat tempatan termasuk pengusaha kedai runcit dan makan, dikesan menjadi pelanggan tetap membeli barangan jualan penjaja warga asing yang berniaga secara haram sekitar Pasar Harian Selayang di sini.

Tinjauan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati, aktiviti peniaga warga asing khususnya etnik Rohingya, yang menjual sayur-sayuran dan buah-buahan itu bermula jam 4 pagi.

DBKL berkata, pemantauan dan rondaan mendapati perniagaan terbabit dijalankan warga Myanmar yang memegang kad pelarian yang dikeluarkan UNHCR.

"Pemegang kad UNCHR adalah dilarang sama sekali menjalankan atau bertindak sebagai peniaga ataupun pemilik kepada sebarang aktiviti penjajaan.

"Justeru, tindakan penguatkuasaan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

DBKL berkata, awal pagi kelmarin, Jabatan Penguatkuasaan menyita enam penjaja warga asing di Pasar Harian Selayang.

"Temubual dan pemerhatian mendapati pelanggan tetap yang membeli daripada gerai yang diusahakan etnik Rohingya ini adalah rakyat tempatan negara ini.

"Kebanyakannya pembeli terdiri daripada pengusaha kedai runcit, kedai makanan, restoran dan gerai tomyam atau makanan laut sekitar ibu negara dan Selangor.

"Barangan yang disita telah dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X