Ahad, 5 Februari 2023 | 8:09pm

JKNT rampas ubatan, kosmetik tidak berdaftar bernilai hampir RM1 juta

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merampas 544 jenis produk kosmetik dan ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM954,727 bagi tempoh dua tahun sejak 2021.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata rampasan menerusi 121 siri serbuan oleh Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Farmasi JKNT, itu dilakukan hasil aduan orang awam dan risikan membabitkan premis perniagaan, kenderaan dan rumah yang dijadikan pusat jualan atau tempat simpanan barang.

Bagaimanapun, katanya jumlah rampasan itu menurun berbanding yang direkodkan pada 2019 hingga 2020 membabitkan 1,231 jenis produk kosmetik bernilai RM1.19 juta.

"Ubatan paling banyak dirampas antaranya pil pelangsingan badan dan perangsang seks," katanya selepas merasmikan Program Gerak Gempur Cakna Ubat di Kuala Terengganu City Centle (KTCC) di sini, hari ini.

Dr Kasemani berkata, selain itu sebanyak 1,180 iklan perubatan yang disaring pada 2022 berbanding 1,119 penyaringan yang dijalankan ke atas iklan perubatan pada 2021.

Beliau berkata, pihaknya juga mengeluarkan denda sebanyak RM282,450 membabitkan 121 kes menerusi tiga akta iaitu Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun 1952 (Pindaan 2022) dan Akta Ubat iaitu Iklan dan Penjualan 1952.

"Mana-mana yang disabit kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama bagi individu dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutannya," katanya.

Mengulas program yang diadakan, Dr Kasemani berkata pihaknya bekerjasama dengan Techno Secure Print Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat kontrak pembekal label keselamatan hologram bagi produk berdaftar dengan KKM.

Katanya, kerjasama ini diharapkan dapat mendidik pengguna supaya lebih peka mengenai penggunaan atau penjualan produk yang berdaftar dan kosmetik bernotifikasikan dengan KKM.

"Aplikasi FarmaChecker adalah satu aplikasi yang dibangunkan KKM dengan syarikat berkenaan berfungsi sebagai indikator sesebuah produk ubat itu tulen atau palsu dengan memeriksa ketulenan hologram FarmaTag.

"Aplikasi ini juga dapat membantu orang awam mengetahui ketulenan sesuatu produk ubat dengan tepat dan cepat," katanya.

Datuk Dr Kasemani Embong (dua kanan) melihat produk dan kosmetik yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas merasmikan Program Gerak Gempur Cakna Tahun 2023 di KTCC Mall. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Datuk Dr Kasemani Embong (dua kanan) melihat produk dan kosmetik yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas merasmikan Program Gerak Gempur Cakna Tahun 2023 di KTCC Mall. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X