KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,381 laman sesawang judi dalam talian disekat, manakala 212,399 talian telefon yang mempromosikan judi dan pinjaman tidak berlesen, ditamatkan perkhidmatan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan menyebut, sekatan dan penamatan perkhidmatan itu dibuat sejak 2020 hingga 2022.
MCMC menyebut, sekatan terhadap laman sesawang berkaitan judi atas talian dibuat susulan permohonan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), terhadap kesalahan mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).
"Penamatan perkhidmatan talian telefon, membabitkan talian tetap dan mudah alih, yang menghantar spam teks pesanan ringkas (SMS) meragukan seperti mempromosikan judi, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain," menurut kenyataan itu.
MCMC menegaskan, pihaknya sentiasa komited menyokong tindakan penguatkuasaan PDRM dalam usaha untuk membanteras kegiatan judi dalam talian.
Dalam hal ini, katanya, PDRM menjalankan tindakan dan penguatkuasaan, manakala MCMC berperanan memberi bantuan teknikal, termasuk membekalkan maklumat dan menyekat laman sesawang berunsur perjudian berdasarkan permohonan daripada PDRM.
Menurut MCMC, selain tindakan penguatkuasaan, kawalan kendiri dan pendidikan adalah kunci dalam usaha membanteras perjudian dalam talian.
Katanya, pengguna juga boleh memainkan peranan untuk menyekat aktiviti promosi judi dalam talian dan aplikasi serta media sosial dengan membuat laporan kepada MCMC dan pengendali aplikasi serta akaun media sosial terbabit.