GOMBAK: Selepas dua tahun 'kurang dirasai' berikutan sekatan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, penganut Hindu kembali berpusu-pusu ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini, bagi menyambut perayaan Thaipusam, hari ini.
Kehadiran ribuan pengunjung terdiri daripada penganut Hindu serta pelawat luar disambut dengan alunan kuat muzik tradisional India ternyata memeriahkan suasana di sekitar kuil yang lebih dikenali sebagai Kuil Batu Caves itu.
Sejak kelmarin, penganut Hindu tidak putus berkunjung ke Kuil Batu Caves termasuk mereka yang membawa 'kavadi' dan 'paal koodam' (belanga susu) untuk dipersembahkan kepada Dewa Murugan.
Masing-masing hadir dengan memakai pakaian tradisional masyarakat India berwarna-warni namun mereka yang ingin bersembahyang dan bernazar, kebanyakannya memakai pakaian serba kuning kerana warna itu warna kegemaran Dewa Murugan.
Sebahagian penganut dilihat membawa pelbagai jenis 'kavadi' dengan berat mencecah lebih 100 kilogram (kg) selain kebanyakan yang lain menjunjung 'paal koodam' bersemangat mendaki 272 anak tangga berwarna warni ke kuil yang terletak di ketinggian lebih 100 meter dari aras laut itu.
Sehingga jam 3 petang tadi, pengunjung Kuil Batu Caves menikmati cuaca redup di lokasi seterusnya memudahkan mereka menyampaikan kesyukuran melaksanakan nazar atau menebus dosa masing-masing sempena perayaan Thaipusam.
Pembawa 'kavadi' Selvakumar, 42, dari Subang Jaya, yang ditemui BH hari ini berkata dia bersyukur kerana dapat mengangkat 'mayil kavadi' untuk dipersembahkan kepada Dewa Murugan pada perayaan Thaipusam kali ini.
"Selepas dua tahun tidak merayakan Thaipusam di sini akibat COVID-19, saya amat teruja dapat mengangkat 'kavadi' pada kali ini. Walaupun perlu mengangkat beban seberat 120 kg, semua itu bukan masalah. Sudah 26 tahun saya mengangkat 'kavadi'.
"Seramai 29 ahli keluarga serta rakan turut membantu perjalanan saya ke Kuil Batu Caves bermula jam 10 pagi sebelum menaiki tangga untuk ke kuil dan seterusnya selesai semua ritual sembahyang dan turun semula pada jam 2 petang tadi," katanya.
Katanya, dia perlu berpuasa selama dua minggu dengan hanya makan nasi serta pisang dan susu bagi memastikan dia layak dan mampu mengangkat 'kavadi' ke Kuil Batu Caves, hari ini.
Berkongsi pengalaman sama, S Manimaran, 40, mengangkat 'kavadi' seberat lebih 20 kg yang diperbuat dari kayu atau 'thol kavadi' diimport dari India bersama ukiran Dewa Murugan untuk bersembahyang dan bernazar di Kuil Batu Caves, hari ini.
"Saya bersama bersama enam ahli keluarga datang ke sini dari Damansara Damai untuk bernazar kepada Dewa Murugan untuk kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga serta manusia sejagat.
"Selepas dua tahun tidak dapat menunaikan nazar di Kuil Batu Caves, kami tidak mahu melepaskan peluang untuk mempersembahkan 'kavadi' kepada Dewa Murugan pada hari ini, kami sangat gembira dan teruja," katanya.
Thaipusam adalah perayaan kedua terbesar disambut oleh penganut beragama Hindu selepas Deepavali dan ia disambut pada bulan 'Thai' mengikut kalendar Tamil.
Selepas dua tahun tidak dapat meraikan perayaan ini secara besar-besaran, rata-rata masyarakat India menyatakan rasa syukur atas peluang yang diberikan pada tahun ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata lebih dua juta pengunjung direkodkan hadir ke Kuil Batu Caves pada perayaan Thaipusam tahun ini dan angka itu dijangka terus meningkat.
"Setakat ini, sambutan berlangsung dengan aman dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
"Seramai 1,888 anggota polis dari pelbagai unit dan jabatan ditugaskan sepanjang tempoh kemuncak perayaan ini berlangsung bermula 2 Februari lalu hingga esok," katanya.