Ahad, 5 Februari 2023 | 4:15pm
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (kiri) bersama bekas Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Stephen Jacob Jimbangan pada EGM parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu. - Foto ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (kiri) bersama bekas Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Stephen Jacob Jimbangan pada EGM parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu. - Foto ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah

Bekas pemimpin BERSATU ambil alih Parti Gagasan Rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sah diambil alih bekas pemimpin BERSATU Sabah dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor secara rasmi dipilih mengetuai parti itu hari ini.

Hajiji dipilih menggantikan bekas Presiden Gagasan Rakyat, Stephen Jacob Jimbangan pada Mesyuarat Agung Khas (EGM) parti itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Pada EGM itu, senarai baharu kepemimpinan Gagasan Rakyat turut dipilih dengan Menteri Kewangan negeri yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masidi Manjun sebagai timbalan presiden yang baharu.

Turut dilantik ialah tiga jawatan naib presiden, masing-masing disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Arifin Arif; ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang dan ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah.

Sementara itu, jawatan Setiausaha Agung disandang bekas Setiausaha BERSATU Sabah, Datuk Mohd Razali Razi, manakala Stephen Jacob sebagai timbalannya.

Pengarah Yayasan Sabah yang juga ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar pula dilantik sebagai bendahari, manakala ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan sebagai Ketua Penerangan.

Semua pemimpin baharu yang dilantik menerajui jawatan utama Gagasan Rakyat terdiri daripada bekas ahli BERSATU Sabah termasuk 20 orang Ahli Majlis Tertingginya.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS, berkata menerusi langkah itu semua bekas ahli BERSATU kini mempunyai wadah politik 100 peratus tempatan untuk meneruskan perjuangan rakyat dan negeri.

"Dua ciri utama Gagasan Rakyat yang menjadi faktor penarik saya dan rakan-rakan untuk bersama-sama dalam parti ini ialah parti berbilang kaum yang membawa citra inklusiviti dan parti suara anak Sabah yang mengangkat citra perjuangan tempatan.

"Ia juga faktor yang meyakinkan rakan dalam GRS untuk menerima segera Gagasan Rakyat sebagai rakan komponen terbaharu mereka," katanya.

Hajiji berkata, parti komponen GRS sudah lama menyatakan hasrat agar GRS menjadi platform tempatan dalam erti kata sebenar, iaitu semua rakan kongsi menjadi parti tempatan.

Selain itu, Hajiji berkata agenda Gagasan Rakyat juga selari dengan empat tonggak perjuangan GRS - Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu).

Bagaimanapun, beliau berkata sebagai sebuah parti tempatan tidak bermaksud ia menolak agenda nasional atau membelakangkan kepentingan negara.

"Hari ini, iaitu tahun 2023 sempena ulang tahun 60 tahun pembentukan Malaysia, kita yakin dan percaya bahawa platform tempatan adalah yang terbaik untuk Sabah.

"Kita memilih dan memutuskan bahawa formula tempatan berupaya melonjakkan agenda perjuangan dan kepentingan negeri dalam Persekutuan Malaysia.

"Kita mahu pelaksanaan sistem federalisme yang lebih bernilai dan bermakna dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.

Hajiji berkata, Gagasan Rakyat juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menerima dan mengutamakan kepentingan Sabah.

Katanya, beliau akan menerangkan dengan lebih terperinci hala tuju Gagasan Rakyat pada pelancaran parti itu, 2 Mac depan.

Berita Harian X