Sabtu, 4 Februari 2023 | 4:36pm
Benedick (dua kanan) menyampaikan Sijil Pelantikan Ahli Lembaga Koperasi Orang Asli Perak Berhad pada majlis perasmian Program Sesi Sembang Santai Masyarakat Orang Asli Perak di Kampung Orang Asli Kerawat Jalan Keramat Simpang Pulai. - Foto NSTP/L Manimaran
Benedick (dua kanan) menyampaikan Sijil Pelantikan Ahli Lembaga Koperasi Orang Asli Perak Berhad pada majlis perasmian Program Sesi Sembang Santai Masyarakat Orang Asli Perak di Kampung Orang Asli Kerawat Jalan Keramat Simpang Pulai. - Foto NSTP/L Manimaran

KUSKOP yakin peruntukan tambahan lulus dalam Bajet 2023

IPOH: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) optimis peruntukan tambahan dapat disalurkan kepada kementerian itu menerusi Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan 24 Februari ini dalam usaha memperkasakan sektor usahawan dan koperasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata pihaknya mengemukakan cadangan awal kepada Kementerian Kewangan berjumlah RM666 juta bajet khusus bagi program pembangunan dan yakin ia akan diluluskan.

Katanya, selain program sedia ada membabitkan agensi di bawah kementerian itu, program baharu turut dirangka bagi tahun ini antaranya program pembangunan perusahaan sosial, program pembangunan untuk penjaja dan peniaga kecil, dan program usahawan siswazah.

"Memang kita mencadangkan tambahan bajet dan berdasarkan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan yang diadakan itu ia sangat positif.

"Program baharu yang memerlukan bajet baharu sudah kita cadangkan. Saya yakin, ini sudah diambil peduli oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Majlis Sesi Sembang Santai bersama Masyarakat Orang Asli Perak di Pusat Kecemerlangan Orang Asli Perak di Kampung Kerawat, Simpang Pulai, di sini, hari ini.

Katanya, sejumlah 185 program atau projek dicadangkan oleh KUSKOP untuk dilaksanakan kementerian itu serta agensi di bawahnya sepanjang tahun ini dan yang mampu memberi impak positif sekali gus memacu pembangunan negara sejajar dengan konsep Malaysia Madani.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Benedick, berkata selain usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), KUSKOP turut meluluskan moratorium atau penangguhan pembayaran semula pinjaman kepada mana-mana premis koperasi yang terkesan akibat bencana banjir pada 9 hingga 31 Disember tahun lalu.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melalui Jawatankuasa Kumpulan Wang Amanah Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) meluluskan penangguhan pembayaran itu untuk tempoh tiga bulan bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2023.

Beliau turut menyarankan, mana-mana koperasi yang terjejas akibat bencana itu supaya membuat permohonan moratorium kepada SKM supaya fokus lebih besar diberikan bagi pemulihan impak bencana itu.

Dalam pada itu, SKM Perak menerusi kenyataan, berkata koperasi turut berperanan dalam meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Orang Asli.

Katanya, Perak mencatatkan sebanyak 27 koperasi Orang Asli berdaftar membabitkan keanggotaan seramai 2,162 dengan jumlah kutipan modal syer terkumpul RM352,000, selain aset RM1.32 juta dan perolehan sehingga Jun tahun lalu berjumlah RM1.29 juta.

"Ini menunjukkan sosio ekonomi Orang Asli di Perak berjaya ditingkatkan melalui platform koperasi. Koperasi adalah pendekatan efektif bagi merangsang pembangunan keusahawanan terutama bagi komuniti Orang Asli," katanya.

Berita Harian X