Sabtu, 4 Februari 2023 | 3:13pm

Shahrir tidak pertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Ketua Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, hari ini, mengumumkan untuk melepaskan jawatannya, yang disandang selama lebih empat dekad, pada pemilihan parti 2023.

Shahrir, yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, keputusannya untuk bersara sebagai Ketua Bahagian Johor Bahru itu adalah bagi membolehkan dirinya memberi fokus kepada keluarga.

"Ini membolehkan saya jadi 'Shahrir' semula, orang biasa. Sama ada saya masih aktif bersuara di media sosial (Facebook Tok Uban), itu belum tahu lagi.

"Keputusan ini tidak dipengaruhi oleh kes mahkamah yang dihadapi sebelum ini apatah lagi mahkamah sudah melepas dan membebaskan saya atas pertuduhan itu," katanya.

Shahrir sebelum ini didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak melalui sekeping cek kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Shahrir, 73, yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Johor Bahru sejak 1980-an lagi.

Pada 1988, Shahrir melepaskan kerusi Parlimen Johor Bahru sebelum bertanding semula sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen berkenaan. Beliau kembali menyertai UMNO semula setahun kemudian.

Terdahulu, keputusan Shahrir itu dimaklumkan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas UMNO Johor di Bangunan UMNO Johor, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, UMNO Johor menghormati keputusan Shahrir itu dan mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau selama ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada sidang media selepas Mesyuarat Khas UMNO Johor di Bangunan UMNO Johor, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada sidang media selepas Mesyuarat Khas UMNO Johor di Bangunan UMNO Johor, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

"Ini bermakna, beliau tidak akan lagi berada dalam Perhubungan UMNO Johor selepas ini.

"Shahrir banyak menabur bakti memimpin bahagian, berkongsi pengalaman dalam politik selain membimbing pemimpin muda parti.

"Kita ucapkan terima kasih dan sangat hargai sumbangan serta jasa besar beliau selama ini dalam UMNO Johor," katanya.

Ketua Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, tidak akan mempertahankan jawatannya itu pada pemilihan UMNO kali ini.
Ketua Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, tidak akan mempertahankan jawatannya itu pada pemilihan UMNO kali ini.
Berita Harian X