Jumaat, 3 Februari 2023 | 6:39pm
 Loke beramah mesra bersama kakitangan kementerian ketika Majlis Tautan Mesra dan Perpaduan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Loke beramah mesra bersama kakitangan kementerian ketika Majlis Tautan Mesra dan Perpaduan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Tak tepat dakwa Malaysia tiada pakar sampai LRT tak dapat dibaiki - Anthony Loke

PUTRAJAYA: Dakwaan Malaysia tiada pakar teknikal tempatan khusus dalam pengangkutan awam sehingga menjadi punca perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) sering rosak dan gagal dibaiki hingga kini adalah satu kesimpulan tidak tepat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, negara sudah Merdeka sejak 66 tahun lalu dan sudah tentu mempunyai ramai pakar dalam kalangan anak tempatan membabitkan pelbagai bidang.

"Tak tepat kata Malaysia tiada pakar teknikal...kita ada ramai pakar, jurutera dan sebagainya.

"Jadi saya harap tidak membuat kesimpulan terlalu umum dan 'sweeping statement' kerana ia tidak adil kepada pihak lain.

"Malah kerosakan baru-baru ini babitkan LRT Bandaraya juga bukan disebabkan masalah teknikal, sebaliknya terdapat keretakan struktur jejambatnya," katanya selepas menghadiri Majlis Tautan Mesra dan Perpaduan Kementerian Pengangkutan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bahawa negara tidak mempunyai pakar teknikal daripada kalangan anak tempatan sehingga perkhidmatan LRT sering rosak dan mengambil masa terlalu lama untuk dibaiki.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua, berkata negara sepatutnya sudah memiliki sekumpulan pakar teknikal tempatan yang boleh menyelesaikan masalah itu dalam tempoh segera kerana membabitkan kerugian besar kepada negara dan rakyat.

Katanya, ketika ini Malaysia hanya menggunakan teknologi negara luar, namun tiada kepakaran untuk menyelesaikan masalah walaupun LRT sudah lama digunakan di sini lebih 20 tahun lalu.

Kenyataan itu diperkukuhkan disahkan apabila Menteri Pengangkutan sebelum ini, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang memaklumkan pakar dari luar negara seperti Istanbul, Turkiye dan Toronto diterbangkan untuk mencari punca utama kegagalan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) LRT Laluan Kelana Jaya pada 9 November tahun lalu.

Berita Harian X