Jumaat, 3 Februari 2023 | 6:38pm
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan aktivis, NV Subbarow, menyarankan orang ramai supaya menjimatkan penggunaan kelapa pada sambutan Thaipusam serta memboikot jualan kelapa pada harga tinggi. NSTP/Ihsan CAP
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan aktivis, NV Subbarow, menyarankan orang ramai supaya menjimatkan penggunaan kelapa pada sambutan Thaipusam serta memboikot jualan kelapa pada harga tinggi. NSTP/Ihsan CAP

Harga kelapa dijangka meningkat ketika Thaipusam

GEORGETOWN: Pengguna khususnya masyarakat India disaran supaya menjimatkan penggunaan kelapa pada sambutan Thaipusam dan memboikot penjual yang menjualnya pada harga tinggi.

Malah, penganut dicadangkan supaya memecahkan hanya sebiji kelapa pada upacara sambutan berkenaan.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan aktivis, NV Subbarow, berkata upacara memecah kelapa ketika Thaipusam adalah amalan pembersihan oleh penganut Hindu dan simbolik menyerah ego seseorang kepada Tuhan.

Katanya, sebilangan penganut kurang mengetahui sebab di sebalik upacara pecah kelapa dan menyangka bahawa lebih banyak kelapa dipecahkan, lebih banyak tuah dilimpahkan kepada mereka.

"Mereka memecahkan beribu-ribu kelapa setiap tahun yang akan berakhir di tapak pelupusan dan dibakar sebelum bertukar menjadi asap yang mencemarkan alam sekitar.

"Menghabiskan wang bagi membeli ribuan kelapa dianggap tidak bijak, terutama ketika keadaan ekonomi sekarang dan perbuatan itu sudah pasti tidak disukai Tuhan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Subbarow berkata, wang yang digunakan bagi upacara pecah kelapa itu sekurang-kurangnya boleh menampung keperluan masyarakat yang berada pada bawah paras kemiskinan.

Katanya, harga kelapa juga dijangka meningkat ketika sambutan Thaipusam dan sekiranya pengguna membayar lebih, harga pula akan meningkat.

"Harga kelapa di pasaran ialah RM1.70 hingga RM1.90 sebiji dan ketika Thaipusam, ia dijangka meningkat daripada RM2.50 kepada RM3 sebiji.

Terdahulu, media melaporkan seramai 1.5 juta penganut agama Hindu dijangka membanjiri Pulau Pinang sepanjang tiga hari bagi menyambut perayaan Thaipusam.

Pengerusi Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthabani, Datuk Seri P Kuvena Raju berkata, pihaknya turut menjangka kehadiran penganut dari Medan, Jakarta di Indonesia dan Singapura bagi menyertai perarakan di negeri ini.

Berita Harian X