Jumaat, 3 Februari 2023 | 5:20pm
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, akan mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini. - Foto NSTP/AZHAR RAMLI
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, akan mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini. - Foto NSTP/AZHAR RAMLI

Mohamed Khaled pertahan jawatan Naib Presiden UMNO

Oleh Essa Abu Yamin

[email protected]

Kuala Lumpur: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan akan mempertahankan jawatannya pada Pemilihan UMNO 2023.

"Saya kekal mempertahankan jawatan (Naib Presiden UMNO)," katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Universiti UCSI Kampus Cawangan Bangladesh, di sini, hari ini.

Dua lagi penyandang Naib Presiden ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini, manakala Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan diadakan pada 1 hingga 26 Februari ini.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat, akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac ini.

Berita Harian X