KUALA LUMPUR: Penubuhan Kabinet bayangan oleh Perikatan Nasional (PN) yang dinamakan Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen PN, mampu menjadikan mereka sebuah pembangkang yang bersifat membina (constructive).
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata ahli PN yang memegang portfolio tertentu melalui jawatankuasa itu berupaya menjadi rakan bayangan (running mate) kepada Kabinet sedia ada, sekali gus boleh menyumbang idea bagi penambahbaikan kepada pentadbiran negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jika idea yang diketengahkan mereka itu membawa kepada kebaikan, perkara itu seharusnya diterima dalam pentadbiran demi kebaikan.
"Dia ada kebaikan dan keburukannya. Pembangkang mesti menjalankan peranan yang konstruktif kerana mereka pernah menjadi kerajaan. Saya percaya mereka maklum berhubung peranan mereka, ...salah satu pilihan untuk menjadi pembangkang membina adalah dengan menubuhkan Kabinet bayangan.
"Kalau seseorang itu menjadi menteri yang menjaga alam sekitar, ada Kabinet bayangan alam sekitar juga, mungkin ideanya menjadi penambahan kepada kerajaan sekarang.
"Tidak semestinya apa yang dikatakan pembangkang tidak elok sebab mereka juga pernah berada dalam kerajaan. Pada saya mudah sahaja, kalau sekiranya idea itu membina, kenapa tidak?" katanya kepada BH,.
Kelmarin, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan barisan 'Kabinet' mereka yang akan menyelaraskan pengurusan parti itu sebagai pembangkang di Parlimen.
Berdasarkan poster Jawatankuasa Portfolio itu, Muhyiddin dinamakan sebagai Ketua Ahli Parlimen dan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mengetuai portfolio Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan 25 ahli Parlimen PN lagi mengisi portfolio lain.
Pada masa sama, Johari berkata, semua 222 perwakilan membawa status yang sama iaitu bertanggungjawab membawa suara rakyat.
"Pada saya, sama ada kamu pembangkang atau wakil kerajaan, ketika kamu hadir di Parlimen, ia memberikan status yang sama. Cuma, kalau kamu kerajaan, kamu mewakili eksekutif dan bertanggungjawab menjawab soalan," katanya.