Jumaat, 3 Februari 2023 | 2:42pm

DUN Pulau Pinang mungkin dibubar akhir Mei

GEORGETOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mungkin akan dibubarkan pada akhir Mei bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), yang dijangka berlangsung pada Jun atau Julai tahun ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata jika DUN Pulau Pinang dibubarkan pada akhir Mei, PRN perlu diadakan pada Jun atau selewat-lewatnya Julai untuk menyeragamkan semua negeri yang terbabit dengan PRN.

"Ada negeri mengadakan sidang pertama DUN pada Jun...Julai dalam kes Pulau Pinang, tarikh 2 Ogos (dikira) lengkap lima tahun. Tapi kalau dari segi politik dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tarikh 8 Mei sudah genap lima tahun.

"Bagi saya, kalau selepas tarikh 8 Mei atau ke atas, DUN Pulau Pinang boleh dibubarkan bila-bila masa. Mungkin kalau dibubarkan akhir Mei, PRN perlu diadakan pada Jun atau selewat-lewatnya Julai," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berhubung pembubaran DUN negeri itu pada 1 Jun ini untuk memberi laluan kepada PRN.

Sebelum itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, turut menjangkakan pembubaran DUN Kedah selepas pertengahan Jun ini.

Kon Yeow berkata, beliau dijadualkan menghadiri mesyuarat di Putrajaya membabitkan pertemuan Perdana Menteri dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 21 Februari ini dan tidak menolak kemungkinan, perkara berkaitan PRN juga akan dibincangkan.

"Sebenarnya, masih tiada mesyuarat secara rasmi (membincangkan PRN) walaupun dalam tempoh ini Menteri Besar dari negeri lain ada membuat kenyataan.

"Pertemuan dengan Menteri besar lain hanya akan berlaku pada 21 Februari, jadi boleh bincang. Minggu berkenaan ada dua mesyuarat, yang membolehkan kita berbincang..satu lagi ialah pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.

"Tetapi, sebelum ini kita sudah bincang untuk bubar dalam tempoh penuh (lima tahun). Namun, ada Menteri Besar yang rasa dia boleh menang, jadi dia mahu cepatkan lagi. Apa pun, Jun atau Julai, bukan bukan Januari atau Februari," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Kon Yeow, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berpendapat, PRN enam negeri, iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang seharusnya dilangsungkan serentak bagi menjimatkan kos, masa dan tenaga pihak yang terbabit.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menjangkan DUN Pulau Pinang dibubar pada akhir Mei ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menjangkan DUN Pulau Pinang dibubar pada akhir Mei ini.
Berita Harian X