Khamis, 2 Februari 2023 | 11:14pm
Pengunjung, N Sharusree, 28, membeli barang perhiasan sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves, Ahad ini. - NSTP/Fathil Asri
Pengunjung, N Sharusree, 28, membeli barang perhiasan sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves, Ahad ini. - NSTP/Fathil Asri

Jalan tutup berperingkat di Ipoh sempena Thaipusam

IPOH: Beberapa jalan di sekitar daerah ini akan ditutup secara berperingkat bermula jam 6 petang esok hingga 7 Februari ini sempena perarakan sambutan Thaipusam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata kemuncak sambutan pada Selasa ini akan diadakan di dua lokasi iaitu Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, Jalan Raja Musa Aziz dan Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Sungai Pari, Buntong.

Katanya, kira-kira 80,000 penganut Hindu dijangka hadir dan sambutan kali ini turut membabitkan perarakan pedati dan kavadi.

Katanya, perarakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman ke Kuil Sri Subramaniar akan bermula jam 6 petang esok dan dijangka selesai jam 12.30 tengah malam, manakala perarakan pulang dijangka bermula jam 4.30 petang Isnin dan selesai jam 10.30 pagi keesokannya.

"Lencongan dan penutupan jalan secara berperingkat akan dibuat ketika perarakan pergi dan pulang pedati," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita Harian X