Khamis, 2 Februari 2023 | 8:58pm

Tujuh laluan di Gombak ditutup menjelang Thaipusam

GOMBAK: Kira-kira dua juta pengunjung dijangka membanjiri Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini, sepanjang sambutan Thaipusam bermula hari ini hingga 6 Februari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata mereka membabitkan penganut Hindu yang menyambut perayaan itu, selain kumpulan pelancong dalam dan luar negara.

"Selepas dua tahun sambutan ini terbatas kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, kita jangkakan dua juta pengunjung akan datang sempena Thaipusam kali ini.

"Polis memberi perhatian kepada aspek keselamatan awam dan melakukan kawalan lalu lintas kerana dijangka berlaku kesesakan jalan raya sepanjang tempoh perayaan berlangsung," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan taklimat kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Kuil Batu Caves sepanjang Thaipusam.

Zainal Mohamed berkata, tujuh laluan akan ditutup bermula jam 12.01 tengah malam ini sehingga jam 12.01 tengah malam 8 Februari ini.

Ia membabitkan persimpangan lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves dan Jalan Batu Caves lama ke pintu utama Kuil Batu Caves.

"Selain itu, simpang tiga lampu isyarat hadapan Stesen Minyak Shell Batu Caves, simpang tiga Jalan SBC 8 jalan lama Batu Caves, susur keluar MRR2 dari Sri Gombak hala susur Jalan Perusahaan Batu Caves dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves," katanya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif atau pengangkutan awam bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata beberapa jalan utama dalam daerah Sentul akan ditutup bagi melancarkan pergerakan membawa pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H S Lee bermula esok pada kira-kira jam 10 malam ke Kuil Sri Subramaniar Swamy.

"Jalan Sultan Azlan Shah akan ditutup di kedua-dua arah dari persimpangan lampu isyarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ke lampu isyarat Jalan Perhentian pada Sabtu ini bermula jam 4 pagi hingga 10 pagi.

"Jalan Sultan Azlan Shah di kedua-dua arah dari lampu isyarat Jalan Perhentian ke persimpangan lampu isyarat IPD Sentul akan ditutup pada 6 Februari bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, menunjukkan peta lokasi penutupan jalan sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, menunjukkan peta lokasi penutupan jalan sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Berita Harian X