Khamis, 2 Februari 2023 | 5:39pm

PAS sedia kerjasama isu pemberian wang kepada pengundi

KUALA TERENGGANU: PAS sedia memberi kerjasama kepada agensi berkaitan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung isu pemberian wang kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata setakat ini, tiada pemimpin daripada parti itu dipanggil SPRM berhubung isu berkenaan.

"Saya tak pasti, tetapi saya rasa SPRM akan menjalankan siasatan dengan telus, Insya-Allah, saya tak pasti siapa yang dipanggil dan sebagainya.

"Setakat ini, belum ada (pemimpin PAS dipanggil) tetapi (kita) sedia bekerjasama dengan SPRM dan mana-mana agensi kerajaan untuk menjalankan siasatan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Kali Ke-2/2022 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan SPRM mengenal pasti kira-kira 90 individu yang didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti politik pada PRU15.

Menurut sumber, ia bagi membantu siasatan berhubung video tular yang menunjukkan orang ramai dikatakan menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran daripada PAS bagi tujuan mengundi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) menyampaikan Anugerah Tokoh Pendidikan Negeri Terengganu kepada bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah Terengganu, Abdullah Abu Bakar (kanan) pada Majlis Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Kali Ke-2/2022, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini. NSTP/Ghazali Kori

Berita Harian X